Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, Januari 31, 2010

Cabar Rais bawa ke mahkamah

KOTA BHARU 30 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.
 
Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah

“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.

“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.

“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.

“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.

Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.

Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara.

Utusan Malaysia 31 Jan. 2010

Dolak-dalik Ku Li

Oleh Rohaniza Idris, Khairul Anuar Abdul Samad, Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain bminggu@bharian.com.my    31 Jan. 2010


Ubah pendirian isu hasil minyak dituntut Kelantan
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah diselar kerana berdolak-dalik dalam isu hasil minyak di Kelantan, terutama pendirian terbarunya yang menyokong bayaran royalti dan bukannya wang ihsan.

Sambil mempersoalkan perubahan pendirian beliau berbanding ketika menjadi Pengerusi Petronas pada 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada Terengganu dan Kelantan, Tengku Razaleigh juga didakwa cuba bermain politik dan mahu mengelirukan rakyat Kelantan.



Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada Oktober 2000.

"Kenyataan Tengku Razaleigh pada 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak mengikut Akta Petroleum 1974, dan apabila beliau ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan.

"Bagaimana beliau sanggup tukar pendirian yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 semata-mata berhadapan dengan ribuan orang," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royalti minyak yang dibuatnya ketika berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berita Harian terbitan 1 November 2000, melaporkan Tengku Razaleigh pada sidang media di Parlimen, berkata berdasarkan undang-undang dan pandangan ketika Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di Semenanjung tidak berhak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu tidak terlalu mempercayai tohmahan yang dilemparkan Kerajaan Pas Terengganu ketika itu, yang disifatkan sengaja menimbulkan kekeliruan berikutan tersepit dengan masalah kewangan.

Tengku Razaleigh yang menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas antara 1974 hingga 1980, juga berkata, kaedah penyaluran wang terbabit tidak harus dipertikaikan kerana yang penting perubahan kaedah pembayaran itu tidak menjejaskan, malah akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat Terengganu. 
Rais berkata, bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, ia tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang haknya milik Persekutuan.

"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara. Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.

"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak Pas dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.

Di KOTA BHARU, Tengku Razaleigh menyarankan supaya tuntutan royalti yang dikemukakan Kerajaan Kelantan dibawa ke mahkamah jika berasakan Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak dihormati.

"Kenyataan saya mengenai Kelantan layak mendapat royalti adalah berdasarkan peruntukan akta dan perjanjian itu yang ditandatangani Petronas dan kerajaan negeri dengan restu Kerajaan Pusat.

"Saya cakap apa yang diperuntukkan akta dan perjanjian yang dibuat itu yang dipakai sampai sekarang. Jika nak selesai segalanya di mahkamah, tak perlu pakai (rujuk) akta, selesai di mahkamah saja," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.

Tengku Razaleigh bagaimanapun, enggan mengulas percanggahan kenyataannya yang dibuat Khamis lalu dengan kenyataan pada sidang media di Parlimen pada Oktober 2000.

negeri di Semenanjung, layak mendapat royalti minyak berdasarkan perjanjian sama kerana kawasan pengeluaran minyak itu terletak di luar perairan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh mengenai royalti itu sebagai sesuatu yang benar dan jelas.

Kenyataan Ku Li bertentangan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

BACHOK 30 Jan. – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Pusat adalah bertentangan dengan pendirian beliau lebih 10 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pada masa itu, Tengku Razaleigh adalah pemimpin yang paling lantang menafikan hak Terengganu ketika pemimpin Pas di negeri itu mengemukakan tuntutan sama.

Dengan merujuk pada laporan beberapa akhbar pada tahun 2000, Awang Adek berkata, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Pengerusi Petronas tahu setiap perjanjian berhubung pengeluaran minyak dan gas di perairan negara ini, kerajaan negeri memang tidak mempunyai hak.

“Waktu itu katanya kerajaan Terengganu memang tidak ada hak untuk mendapatkan royalti. Memang dalam perjanjian Petronas beliau tahu minyak yang dijumpai di luar 5.5 kilometer (tiga batu nautika) dari perairan bukan hak kerajaan negeri.

“Jadi sebagai seorang negarawan, kenapa Terengganu tidak boleh tetapi Kelantan boleh. Kalau beliau kata mempunyai hak bersuara, saya juga berhak dan pendekatan saya adalah memperingatkan kembali apa yang telah dikatakan oleh beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Tangok, Bachok di sini hari ini.

Awang Adek turut membawa rujukan berupa salinan laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 November 2000 bertajuk, Minyak: Penjelasan Ku Li.

Dalam laporan itu, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 dilaporkan berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar ‘wilayah’ mereka.

Selain Utusan Malaysia, laporan berkenaan turut disiarkan pada tarikh yang sama di muka depan akhbar Berita Harian bertajuk Royalti: Ku Li buka mulut dan akhbar New Straits Times bertajuk Terengganu not entitled to oil royalty, says Razaleigh.

Kelmarin, ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

Jelasnya, sebagai individu yang terlibat dengan penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, beliau tahu kerajaan negeri mempunyai hak menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan yang bertindih dengan Thailand.

Sehubungan itu, Awang Adek berkata, pendirian Tengku Razaleigh sepatutnya tidak berubah terutama sekali beliau adalah pemimpin kerajaan yang dihormati dan disegani.

Pendedahan itu katanya, bukan bertujuan mahu menyerang atau membidas pemimpin itu sebaliknya menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

“Saya orang baru dan beliau pemimpin lama cuma saya nak jelaskan apa yang dulu dan sekarang sudah tidak sama. Ini (laporan akhbar) bukan satu akhbar saja yang siarkan tetapi banyak lagi,” tambah Awang Adek.

Utusan Malaysia. 31 Jan. 2010

Dedahkan hasil siasatan Raja Petra - Mohd. Puad

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pihak berkuasa digesa mendedahkan laporan siasatan mengenai pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dikatakan hidup mewah di London serta ditaja oleh pihak tertentu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, laporan mengenai individu yang memboloskan diri ke luar negara itu penting supaya masyarakat khususnya pelayar Internet tidak lagi terkeliru dengan penipuan di portal berita tersebut.

''Apa yang lebih penting, pihak berkuasa harus menunjukkan kredibiliti mereka kerana Raja Petra dikatakan telah meloloskan diri dengan menggunakan pasport palsu serta ditaja pihak tertentu yang mahu melihat perpecahan masyarakat di negara ini.

''Walaupun kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan United Kingdom (UK), tiadakah cara lain pihak berkuasa boleh membawa Raja Petra pulang ke negara ini untuk didakwa,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 7 Januari lalu menegaskan, pihaknya akan menggunakan saluran undang-undang antarabangsa untuk memburu pengendali portal berita Malaysia Today berkenaan.

Menurutnya, semua pihak perlu bersabar kerana proses permohonan ekstradisi memerlukan masa yang lama.
Raja Petra dalam satu artikel yang disiarkan pada 31 Disember lalu pula mendakwa dia kini berada di Poland.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd. Puad menambah, penangkapan Raja Petra serta proses pendakwaan di mahkamah boleh menyelesaikan pelbagai tohmahan tidak berasas yang dilemparkan terhadap kerajaan dan para pemimpin negara selama ini.

Beliau berkata, pihak Imigresen dan polis sudah tentu mempunyai maklumat mengenai Raja Petra berdasarkan jaringan polis antarabangsa (Interpol) dan ia harus dikemukakan segera.

Utusan Malaysia 31 Jan. 2010

Sabtu, Januari 30, 2010

Saya berhak bersuara – Tengku Razaleigh

KOTA BHARU 29 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya tentang royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau bebas untuk bersuara selagi ia tidak melanggar undang- undang dan disiplin parti walaupun berada di atas pentas pembangkang malam tadi.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Petronas itu menolak dakwaan kononnya tindakan tersebut adalah langkah awal untuk beliau menyertai pakatan pembangkang.

“Saya bebas dan boleh bersuara apa yang saya suka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin parti.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut. Kalau orang ajak kita masuk ‘rok’ (semak), kita masuk ‘rok’ lah ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri serta kira-kira 20,000 rakyat negeri ini.

Penyertaan Tengku Razaleigh dalam ceramah itu mencetuskan kontroversi kerana beliau berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Sementara itu, ketika menyampaikan ceramah, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

“Sebelum saya hendak datang sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti tetapi apa saya peduli, saya hanya mahu menyatakan kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun yang lalu.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand,” katanya.

Katanya, jika Kerajaan Pusat tidak yakin dengan kebolehan kerajaan negeri untuk menguruskan royalti itu, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan untuk memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik.

Jelasnya, beliau sendiri sedia menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan pihak berkenaan demi pembangunan dan kepentingan negeri serta rakyat.

“Saya rasa kerana mereka tak begitu yakin dengan kerajaan negeri disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.
 
“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Utusan Malaysia. 30 Jan. 2010

‘Selesai di mahkamah’

Oleh THOMAS CHONG
SEPANG 29 Jan. – Isu tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan perlu diselesaikan menerusi saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.

‘‘Bagi sesetengah orang yang lupa asal-usul, mereka terus memberi ceramah dan membangkitkan isu yang bukan-bukan.

‘‘Ia mudah untuk menjadi wira dengan menyampaikan sesuatu tetapi ia mesti berasaskan undang-undang serta fakta nyata dari segi pemilikan hak antarabangsa dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan butik terbaru Karyaneka di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Perbadanan Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad dan Ketua Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali.

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) dilaporkan telah mengadakan ceramah tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan di sebuah stadium di Kota Bharu semalam.

Ceramah tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan menyokong kerajaan Kelantan untuk menerima royalti berbanding wang ihsan.

Rais berkata, sumber alam yang ditemui melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai adalah hak antarabangsa negara.

"Selain itu apa-apa yang dituntut juga mesti berasaskan kepada penemuan minyak".

"Jika minyak tidak ada, maka tidak ada apa yang boleh diberi,” katanya.

UMNO teliti kenyataan Razaleigh

Oleh NIZAM YATIM

Najib Tun Razak berbincang sesuatu dengan Hishammuddin Tun Hussein sambil diperhatikan Muhyiddin Yassin selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Jan. - UMNO akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti.

"Kita sedang meneliti dan belum mendapat apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh. Jadi bagi tempoh masa untuk kita dapatkan laporan ucapan dan sebagainya.

"Parti kita punya pendirian, kita mesti patuh pada disiplin parti... tetapi macam mana pun nanti kita akan bincang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh selepas menyertai Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu semalam untuk mengetuai kaukus yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Menurut Razaleigh, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

Ditanya adakah Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas melanggar disiplin parti apabila menyertai majlis yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Pas Kelantan, Najib berkata, pihaknya perlu meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

'Ya lah nantilah, kita teliti dululah," katanya.

Mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa Kerajaan Pusat berbohong apabila hanya memberikan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk pengeluaran minyak di perairan Kelantan sejak Mei 2008, Najib menegaskan, tuduhan itu adalah tidak berasas.

"Kita tidak bohong. Apa yang patut diterima oleh rakyat Kelantan, kita akan bagi. "Kita tidak lari daripada tanggungjawab kita, tetapi kita mesti membuat apa-apa berdasarkan kepada Perlembagaan negara," katanya.

Khamis, Januari 28, 2010

M FAQIH: Mencari penipu besar di sebalik royalti minyak

M Faqih   
Aneh sekali, ketika rakyat terdedah dengan pelbagai sumber maklumat tiba-tiba ada pemimpin yang bertaraf menteri menafikan perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Tanpa segan silu menteri terbabit mendakwa Akta Kemajuan Petroleum 1974 terbatal dengan adanya perjanjian Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia Thailand 1979.

Itulah perkara yang berlaku pada forum Wang Ehsan bertajuk ‘Antara Retorik Politik dan Keperluan Rakyat’ di sebuah hotel lima bintang di sini, malam tadi.

Ahli panel forum itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Manakala Pengarah Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan, Datuk Prof Dr Hussin @ Mohamad Abdul Rahman sebagai pengerusi.

Akhbar melaporkan lebih 5,000 orang ramai hadir pada forum berkenaan, sedangkan kelihatan lebih banyak kerusi kosong.

Mereka yang diwajibkan hadir ialah pemimpin-pemimpin Umno dan kakitangan kerajaan persekutuan terutamanya warga pendidik.

Malang sekali tradisi menafikan fakta seperti menjadi satu mainan bagi pemimpin Umno di era sekarang.

Pembaca tentu masih ingat harga dua jet pejuang pada awalnya disebut RM50 juta setiap satu. Tiba-tiba sekarang sudah jadi RM400,000 pula. Siapa yang memperbodohkan rakyat dalam isu ini.

Lagi nampak kurang matang apabila dakwaan kehilangan dua enjin jet pejuang milik TUDM pada 2007 dikatakan tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi.

Maknanya prebetlah yang buat kerja mencemar kedaulatan negara tersebut. Inilah sandiwara yang berterusan berlaku di Malaysia selagi akar umbi agama diketepikan.

Nampaknya siri cerita dongeng tidak berakhir di situ. Sekarang cerita pak kaduk diteruskan pemimpin Umno di Kelantan. Malang sungguh bagi rakyat di Jeli mengangkat seorang pemimpin seperti Mustapa sejak 2004.

Rakyat di Jeli tidak sepatutnya bersubahat dengan agenda sulit yang memperlihatkan agenda politik peribadi. Mampukah rakyat di sana terhibur dengan hanya menyaksi dari luar pagar bangunan cantik MRSM dan projek politeknik dan kampus Universiti Malaysia Kelantan tersergam di Jeli.

Sedangkan duit royalti mahu disihirkan menjadi wang ihsan. Sepatutnya rakyat di Jeli sudah tidak keluar menoreh lagi kerana di situ sudah pelbagai projek dibawa Mustapa.

Berbalik kepada cerita asal tadi, nampak sangat pemimpin Umno menyembunyikan perkara sebenar. Akta Kemajuan Petroleum 1974 bagi mereka sudah lusut dan tidak terpakai lagi.

Sedangkan akta itulah yang mengikat Petronas membayar royalti kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tiba-tiba dalam konteks Kelantan disebut pula perjanjian itu sudah lapuk.

Maka mengambil kira kedegilan itulah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menganggap pemimpin terbabit sebagai penderhaka.

Malam tadi Mustapa menjelaskan kerajaan Persekutuan mahu membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan Mac depan.

Menurutnya perbincangan dengan Petronas menghasilkan jumlah wang tersebut. Kata beliau lagi ia merupakan hasil pengeluaran minyak dan gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301 berdekatan dengan perairan Kelantan.

"Jumlah RM20 juta itu merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil di blok tersebut sejak Mei 2008," katanya.

Sedangkan sebelum ini beliaulah yang menafikan hak Kelantan ke atas royalti. Orang kampung masih ingat pemimpin itu bernama Mustapa dan Awang Adek.

Sejak Julai sehingga awal November, mereka menolak mentah-mentah hak rakyat Kelantan ke atas royalti. Macam-macam alasan yang sukar difahami orang di Jeli dan Bachok diberi.

Namun, tiba-tiba selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui akan membayar royalti dalam bentuk ihsan kepada Kelantan, akhirnya kedua pemimpin terbabit terpaksa mengikis malu.

Kalau sekadar berlapik alasan dengan menyebut pengeluaran minyak di Blok PM302 dituntut bersama Thailand, mengapa pula Songkhla difahamkan sudah lama menerima royalti daripada kerajaan Siam.Sedangkan minyak dan gas digerudi di perairan Kelantan sejak 2004.

Mustapa mendakwa hasil diperolehi dikongsi bersama hanyalah sebanyak RM800 juta. Kata beliau hasilnya tidak boleh diberikan kepada Kelantan kerana ia merupakan kawasan bertindih dua negara.

Jadi timbul kemusykilan, apa pula makna RM20 juta yang disebut wang ihsan di awal tadi.

Amat malang sekali bagi rakyat Kelantan yang menyokong Umno. Sebelum ini mereka mengharap ada pemimpin yang lebih berwibawa berbanding dengan Tan Sri Annuar Musa.

Rupa-rupanya tidak. Penyokong Umno terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk mengimpikan pemimpin yang benar-benar jujur.

Biar pun didakwa lebih 5,000 hadir pada forum malam tadi, Umno tetap bimbang kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah malam esok di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Tengku akan menjelaskan perkara sebenar. Pencarian siapa pembohong alaf baru akan menjelma malam esok.

Apakah pagi Jumaat nanti, Mustapa dan Awang Adek bekejar-kejar mencari media mahu menafikan penjelasan Tengku pula.

Banyak pihak melihat itulah yang akan dilakukan kedua-dua pemimpin kelahiran Bachok selagi ada kuasa di tangan mereka.

Maka tidak hairanlah penganjur majlis penjelasan royalti rakyat cuba diganggu.

Urusetia Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan lain-lain pihak yang terbabit mendakwa menerima pelbagai ugutan.

Apakah tanggungjawab untuk merungkai perkara sebenar seperti menelan jadam yang terlalu pahit.

Semuanya itu menggambarkan ada pihak amat gelisah apabila ratib rakyat sekarang royalti dan bukan wang ihsan. Siapa yang menipu dan tertipu dalam isu ini.

http://www.harakahdaily.net 28 Jan. 2010

Nik Aziz: Royalti, nama Allah dan hubungan antara agama

Zulkifli Sulong, Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir   


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjawab pelbagai isu dalam wawancara khas dengan beliau di JKR 10, kediaman rasmi MB Kelantan Sabtu, 23 Januari lepas. Beliau telah diwawancara oleh tiga wartawan kanan termasuk dari Harakahdaily, Zulkifli Sulong. Berikut adalah hasil wawancara eksklusif itu dengan dibantu oleh Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir.

Wartawan: Isu royalti minyak, sejauh mana kerajaan Kelantan berusaha untuk mendapatkannya.

Nik Aziz:  Sepatutnya tuntutan Kelantan terhadap royalti tidak menjadi masaalah, kerana minyak terletak dalam pantai di perairan Kelantan. Jauh mana sekalipun ianya dikira hak kerajaan Kelantan.

Tiga kilometer ke, 10 kilometer ke atau 70 sekalipun, kerana ianya (ukuran) perbuatan manusia.

Sekiranya Kerajaan Pusat, yang mana setitik minyak sekalipun tidak ada di tempat mereka, namun mereka juga turut mendapat hasil melalui Petronas.

Tetapi, kenapa Kelantan yang mempunyai hasil minyak sendiri melalui telaganya yang banyak, kenapa pula dijadikan isu?.

Sepatutnya minyak yang keluar dari bumi Kelantan, menjadi hak negeri inilah. Kalau dikira dari segi ehsan, kerajaan Pusat yang sebenarnya perlu mendapat ehsan dan bukannya Kelantan. Kelantan yang ehsan pada Kuala Lumpur, tetapi sudah terbalik keadaan.

Tinggal lagi masaalah mahkamah tu, tuan-tuan sudah maklum, kita telah membuat tindakan. Pada masa yang sama kerajaan negeri telah melantik penal peguamnya sendiri, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Insyaallah, Allah akan menolong kita dan saya minta doa agar Kerajaan Pusat akan memberi kepada kita sebagai hak kita, disamping tidak menimbulkan rasa benci rakyat pada mereka.

Rakyat sekarang ini semakin ramai yang faham apa itu erti demokrasi, komunis itu pula macam mana, jadi sekiranya masih melakukan tindakan sebegini (nafi hak Kelantan) tiada bezanya dengan tindak tanduk komunis dengan demokrasi.

Komunis rampas harta orang, demokrasi juga rampas harta rakyat, dengan sebab ini akan menimbulkan rasa benci rakyat terhadap demokrasi sebagaimana mereka benci pada komunis. Ini bahaya jika rakyat akan berperasaan begini.

Baru-baru ini Tun Salleh Abas berkata ketika dalam wawancara dengannya berhubung kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak menyifatkan mereka yang menentangnya sebagai penderhaka. Contohnya Mustapha Mohammad. Jadi apa pandangan Tok Guru?

Ada dua tiga orang rakyat Kelantan ini yang hanya boleh dibilang dengan jari yang tidak bersetuju (tuntutan royalti). Sebagai bukti yang jelas sekali sebagai bukti pada 28 Januari ini, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menjelaskan keadaan yang sebenar berhubung perkara itu.

Tengku Razaleigh telah lama menyebut. Dia ni orang Umno, tetapi atas sifat kemanusiaan, beliau memahami sehingga tidak menjadikan ianya sebagai isu politik parti yang didokonginya.

Beliau lebih memandang tuntutan itu sebagai yang benar-benar berhak serta adil. Kenapa hasil balak tidak ada siapa yang peduli, kenapa hasil minyak ingin pula diganggu-gugatkan? Sedangkan ianya perkara yang sama.

28 haribulan ini ada suatu perkara penting saya nampak di Kelantan. Ada wakil-wakil paderi di seluruh Negara akan berhimpun di Kelantan.  Kemudian Tuan Guru akan menganjurkan makan tengahari bersama mereka, jadi bagaimana Tuan Guru melihat hubungan antara agama?

Saya ini adalah di antara orang yang belajar agama, saya belajar dengan orang tua saya, saya belajar di India, Pakistan termasuk juga di Mesir.

Agama Islam ini disebut Islam, sesekali juga disebut ‘assilmu’, sesekali juga disebut ‘alamin’. Orang Islam apabila bertemu dengan orang lain akan mengucapkan ‘assalamualaikum’. Ini satu-satunya agama yang mengajar penganutnya berhubung kesejahteraan serta keamanan.

Allah hanya satu, malah Allah meminta kita mengulang namanya dengan ‘arrahmanirrahim’.  Walaupun nama Allah ada 99, tetapi ‘arrahmanirrahim’ diminta ulang-ulang mengucapkannya. Arrahman ni bermaksud pemurah, kesihanbelas, Al Jabbar (gagah perkasa), Al Mutakkabir (yang menyombong), Al Muttaqim (pendendam), namun malangnya nama Allah itu tidak diulangi bagi melahirkan rasa takut, gerun pada Allah. Yang biasa diketahui Arrahman, Arrahim sahaja.

Nabi Muhammad sendiri perkara pertama yang baginda lakukan sewaktu sampai di Madinah dengan musuh tradisi ialah ‘perdamaian’ atau disebut Piagam Madinah.

Piagam Madinah ini adalah antara sebuah kerajaan yang dipegang baginda di Madinah dengan musuh lamanya Yahudi.

Walaupun Islam mendakwa Nabi Isa dinaikkan ke langit, namun bagi orang Kristian, Yahudi telah membunuh Nabi Isa dengan menggunakan ‘salib’ sehingga lambang berkenaan digunakan oleh penganut Kristian sama ada di gereja atau seumpamanya sebagai simbolik ke atas kematian Nabi Isa atau ‘Jesus’.

Tetapi Nabi Muhammad menyelesaikannya secara perjanjian dan bukannya melalui peperangan dengan kaum Yahudi antaranya sekiranya puak berkenaan diserang, tentera Nabi Muhammad akan membantu dan begitulah sebaliknya. Itu kaedah perjanjian keamanan yang disebarkan oleh Rasulullah.

Begitu juga dengan Nabi Musa di mana puak Yahudi yang buat masaalah dengan pelbagai tuduhan terhadap Nabi Musa ketika itu.

Bagaimanapun akhirnya Yahudi yang membatalkan perjanjian dalam  Piagam Madinah sehingga akhirnya Rasulullah menghalau puak Yahudi dari Khaibar.

Sampai sekarang ini pun puak Yahudi yang banyak buat masaalah, perang sana, perang sini, semuanya kerja-kerja Yahudi. Untuk membesarkan kilang senjata mereka memperkenalkan system riba dan sebagainya.

Sewaktu 13 Mei berlaku di Kuala Lumpur hingga berlaku pertumpahan darah, namun ketenangan berlaku di Kelantan.

Walaupun kaum Cina minoriti di negeri ini, namun kerana rakyatnya tidak beremosi sebaliknya menanganinya dengan kaedah agama, akhirnya peristiwa itu tidak berlaku.

Islam mengajar umatnya menjaga air muka (maruah) diri sendiri, orang lain, jaga harta kita, jaga harta orang lain, tuduh orang melakukan zina tidak boleh dan sebagainya.

Sebagai contoh sekarang ini orang menuduh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat, ianya sesuatu perkara yang cukup memalukan. Liwat dilakukan dalam kelambu, jangankan manusia nak tengok, nyamukpun tak ada dalam kelambu. Tetapi menuduh pula manusia seperti Datuk Seri Anwar melakukannya, ini satu perkara yang cukup memalukan.

Saya sendiri kalau keluar negara sekiranya mereka bertanya saya datang dari negeri mana, saya cakap dari Malaysia, secara automatiknya mereka menggambarkan peristiwa memalukan itu  dilakukan oleh seorang pemimpin di negara ini. Memang cukup memalukan.  Minta doalah banyak-banyak pada Allah supaya orang melakukan fitnah berhubung perkara ini insaf kerana mereka yang melakukan fitnah tersebut akan berhadapan dengan kemurkaan dan siksaan yang amat pedih. Jahat-jahat komunispun tak buat fitnah macam ni.

Apa sikap PAS terhadap isu penggunaan nama Allah oleh Kristian?

Saya telah membuat kenyataan yang acap kali berhubung ‘kalimah Allah’ ini.  Ayah Nabi Muhammad ialah Abdullah. Ayah baginda lahir ke dunia sewaktu anakandanya Muhammad belum lagi menjadi Nabi, iaitu zaman jahiliah lagi.  Namun ketika itu nama ayahanda baginda adalah Abdullah (hamba Allah).  Nama Allah yang bermaksud hamba Allah telah lama digunakan oleh orang-orang jahiliah terutama di negeri-negeri di Timur Tengah.

Tempat kita ini sekiranya saya ingin berniat baik kepada orang Kristian, saya boleh kata kepada mereka sekarang ini kamu ingin menggunakan nama Allah, ada baiknya kamu menerima sepenuhnya ajaran Allah bukan hanya setakat kalimah. Sekarang ini kamu hanya mengambil namanya sahaja, lama kelamaan ambil pula ajaran agama Allah itu sepenuhnya.

Keduanya kalau ingin disangka tidak baik, mereka ingin mengambil kalimah Allah dengan tujuan untuk mengelirukan. Tidak sepatutnya menggunakan agama untuk mengelirukan orang lain.  Sekiranya ingin menyebarkan agama Kristian, tidak perlu mengelirukan masyarakat, sebaliknya mengeluarkan hujah.  Islam dengan jelas menyatakan kepada agama lain bagaimana sekalipun kebenaran agama yang dibawa, tetapi biarlah melalui hujah.

Jangan sekali-kali membawa kekeliruan, jangan bawa kesamaran dan jangan juga membawa syubhah. Kerana itu saya mengeluarkan kenyataan sekiranya ingin menggunakan kalimah Allah tidak mengapa, tetapi jangan sekali-kali mengelirukan masyarakat dengan kalimah itu dengan hasrat untuk menarik mereka menerima ajaran agama Kristian, ia akan memburukkan nama agama tersebut. Pada masa yang sama imej paderi akan menjadi rosak, jadi ada baiknya mereka menunjukkan keikhlasan mereka sekiranya benar ingin menggunakan kalimah itu.

Di beberapa negeri, perkataan Allah dan beberapa istilah lagi digazetkan oleh enakmen agama tidak boleh digunakan oleh agama lain. Bagaimana dengan Kelantan.

Itu negeri-negeri lain, dia ada cara mereka sendiri, saya tidak mahu campur.  Saya bercakap atas nama Kelantan. Kelantan telah meletakkan segalanya atas suasana persaudaraan, keharmonian bukan sahaja sesama Islam, sebaliknya bukan Islam.

Tujuan Kelantan menjemput semua paderi-paderi, alim ulamak, para sami, sikh dan Buddha kerana makanan (majlis makan tengahari) itu sebagai satu simbolik mengeratkan hubungan silaturrahim.

Sejak zaman berzaman lagi sekiranya ada sesuatu masaalah, akan dapat diselesaikan melalui silaturrahim.  Kita melahirkan kesyukuran kita buat jamuan, kita aqiqah, buat jamuan, berkahwin juga membuat jamuan, kita musafir jauh dan akhirnya pulang semula ke rumah juga kita membuat jamuan. Jamuan ini adalah fitrah manusia untuk mendekati satu sama lain.

Jadi sekiranya orang ingin membakar atau mengganggu gereja di negeri lain itu terpulang pada mereka, namun Kelantan ingin memaut masyarakat dalam suasana harmoni.  Namun yang penting bakar gereja yang berlaku baru ini sesuatu fitnah (dirancang) oleh golongan tertentu.  Sebelum itu mengarakkan kepala lembu, sedangkan perkara itu begitu biadab untuk dilakukan.  Sedangkan umumnya sudah ketahui lembu adalah dianggap ‘holly’ bagi Hindu, kenapa merancang perkara-perkara yang boleh mengguriskan hati masyarakat Hindu.

Daripada kita mengarak kepala lembu, ada baikknya kita mengajak mereka menerima Islam, tetapi kerana tidak pandai untuk berdakwah, mereka melukakan masyarakat bukan Islam dengan insiden tersebut.

Apa pandangan Tuan Guru dengan dialog antara agama?


Ya, saya setuju benar cadangan tu. Kalau boleh semua penganut pelbagai agama berhimpun khususnya ketua-ketua agama.  Namun saya cadangkan jangan memanggil orang PAS sebagai moderator pada pertemuan itu takut nanti dikatakan berat sebelah atau seumpamanya.

Boleh menjemput pensyarah-pensyarah universiti bahagian perbandingan agama.

Adakah dialog antara agama dibenarkan dalam Islam?


Islam tidak menghalang dialog antara pelbagai agama dilakukan, namun yang pentingnya perkara apa yang ingin dibincangkan.

Sekiranya saya ingin melakukan dialog saya akan mencadangkan ‘di mana salahnya Islam’.  Selagi tidak ada sesiapa dapat membuktikan Islam itu agama yang salah, saya nak tinggalkan Islam pun tak boleh kerana dia tak dapat membuktikan salahnya Islam dan ‘you’  ingin menolak Islampun tidak boleh kerana Islam tidak salah. Itu sebagai contoh sekiranya saya mengendalikan dialog, orang lain saya tak tahulah.

Dialog tu baguslah, tetapi berdasarkan tajuk apa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan  bertujuan untuk berdialog dengan pemimpin di seluruh dunia.  Islam telah lama mengajar dialog sebagaimana yang diajar dalam al-Quran menyeru golongan bukan Islam supaya membawa hujah sekiranya mereka benar dengan pegangan mereka.

Untuk menyelesaikan segala masaalah bukan dengan ISA, penumbuk, tetapi hujah.  Ini tidak, kita bawa hujah dia bawa ISA. Mengarut orang Umno ni. Dia sendiri tiada hujah, tetapi kerana sombong dan takabur mereka menggunakan ISA.

Alim ulama atau lebih dikenali dengan panggilan ‘tok guru’ pondok tahun-tahun 60-an, di Kelantan ramai ditangkap di bawah ISA.  Atas sebab itu juga walaupun saya sebagai seorang guru pada asalnya namun kerana ingin membela nasib mereka saya menyertai parti politik. Saya heran kenapa orang Melayu menangkap tok guru Melayu.  ISA ni nak bawa ke mahkamah tak boleh, malah tak tahu pula bila nak dilepaskan, punya jahat orang Umno ni tak habis-habis.  Jadi saya tinggalkan jawatan saya sebagai seorang guru sertai politik PAS.

Apa tujuan Kelantan menganjurkan jamuan tengahari 28 Januari ini.

Kelantan buat jamuan, 28 haribulan ini bukan kali pertama, sebelum ini pertemuan serta jamuan yang sama telah dilakukan beberapa tahun lalu.  Saya panggil ketua-ketua agama lain datang ke pejabat saya, ramai datang. Malah saya sendiripun pergi ke wat-wat mereka khususnya di Tumpat, saya pergi. Jumpa sami mereka dengan tujuan untuk membuktikan Islam ini membawa keamanan dan kesejahteraan. Sekiranya ada sesuatu perkara yang tidak kena berhubung ajaran suci ini, nyatakan di mana silapnya.

Harapan Tok Guru pada pertemuan itu nanti bagaimana?

Saya harap akan bertambah ketenangan, keselesaan hidup masyarakat di negeri ini.

http://www.harakahdaily.net 28 Jan. 2010

Isu MB Perak: Kenapa 9/2? Ajijo

Ajijoi   
Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 5 November 2009 yang lalu untuk mendengar kes siapa Menteri Besar Perak yang sah masih belum memberikan keputusan mengenai kes tersebut.

Mengapa perlu mengambil masa yang begitu lama untuk diumumkan keputusannya oleh 5 orang panel hakim yang bertugas?

Ada yang mengatakan bahawa keputusan sebenar dipendamkan kerana daripada 5 orang panel hakim tersebut, 3 orang memilih Nizar, 1 memilih Zambry manakala seorang lagi mengambil sikap berkecuali.

Keputusan ini begitu mengejutkan serta menakutkan BN sehingga perlu dilakukan sesuatu bagi memperbetulkan keputusan itu sebelum diumumkan.

Selama 3 bulan keputusan itu dipendam daripada pengetahuan rakyat Malaysia khususnya Perak, mengapa tiba-tiba tarikh 9 Februari dipilih untuk mengumumkan keputusan yang dinanti-nantikan selama ini?

Bagi saya, selama 3 bulan ini, BN terutamanya Umno Perak mengatur strategi dalam menghadapi kemungkinan pembubaran Dun yang sudah pasti tidak dapat dihalang lagi.

Selama 3 bulan inilah segala jentera kerajaan, media perdana dan kerja-kerja 'underground' diatur bagi memastikan sokongan rakyat kembali kepada mereka.

Kesemua sumber kewangan negeri juga dipergunakan sepenuhnya bagi memastikan misi ini berjalan dengan lancarnya.

Ini juga bermakna, Umno dan BN telah bersiap sedia dalam semua perancangan mereka untuk tetap berkuasa di Perak samada cara 'by hook or by crook'.

Persoalan lain yang perlu diberikan perhatian SERIUS adalah "Adakah Pakatan Rakyat telah bersedia untuk menghadapi pembubaran DUN Perak?"

http://www.harakahdaily.net 28 Jan.2010

Mahfuz cadang ‘Kementerian Pembangunan Bumiputera’ untuk ketepikan Umno

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 27 Jan: Motif  kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera supaya suarakan rasa tidak setuju  dengan keputusan Perdana Menteri bubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dipersoalkan.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, seruan Muhyiddin itu seolah-olah menggambarkan kempen ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti gagal dihayati oleh Muhyiddin.

“Saya lihat seperti ada yang tidak kena antara Najib (dan) Muhyiddin, sama ada Najib dalam dilemma (iaitu) untuk terus jaga kepentingan kroni Umno melalui MeCD ini atau perlu buktikan kepada bangsa-bangsa yang lain tentang kempen ‘1Malaysia’ yang beliau nak bawa.

“Kenyataan Muhyiddin itu bagi saya seolah-olah beliau tidak menghayati konsep ‘1Malaysia’ atau tidak faham dilema yang Najib alami sekarang,” kata Mahfuz.

Menganggap MeCD adalah proksi strategik untuk mengkayakan segelintir pihak atas sensitiviti Melayu, beliau mencadangkan sesuatu kementerian yang lebih komprehensif bagi menggantikan MeCD demi mengukuhkan keyakinan rakyat majoriti, iaitu Bumiputera bahawa Pakatan Rakyat bersedia menggantikan Umno dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

“Bumiputera dan Melayu masih dilihat menyokong Umno disebabkan ada kementerian sebegini (MeCD) walaupun dilihat gagal memperkukuh ekonomi Bumiputera.

“Kalau kita nak menggantikan Umno, maka tidak salah kita menawarkan sesuatu yang lebih baik (dari MeCD) demi meyakinkan kaum Bumiputera kerana mereka juga (adalah) rakyat yang harus dipedulikan," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan, Pakatan Rakyat menawarkan Kementerian Pembangunan Bumiputera (KPB) bagi memperkasa ekonomi Bumiputera.

“Langkah pertama, Mara (Majlis Amanah Rakyat), PNB (Permodalan Nasional berhad) dan Tabung Haji (TH) perlu diletakkan di bawah KPB kerana penubuhan institusi tersebut hasil semangat (dari) Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Kaedah Pengurusan dan Pengawasan

Menurut beliau, suatu mekanisme pengawasan diperlukan untuk memastikan pengurusan ala Umno tidak berlaku dalam ketiga-tiga pentadbiran Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tersebut.

“Kalau calon Pengerusi (CEO) dan Ahli Lembaga Pengarah GLC tersebut dicadangkan oleh Perdana Menteri atau badan Eksekutif, tetapi perlu saringan temuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan di bawah Parlimen dan kemudiannya diperkenan (lalu) dilantik oleh (DYMM) Yang Dipertuan Agong; adakah akan wujud kronisme dalam kepemimpinan tertinggi GLC ini,” soal Mahfuz.

Jelasnya lagi, perlantikan secara eksklusif yang melibatkan satu-satu pihak sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Umno dilihat (rakyat) seolah-olah menjadikan GLC sebagai ‘telaga duit’ untuk kroni-kroni tertentu sahaja.

Kesan berantai pada pengurusan tidak cekap tersebut, menurut Mahfuz mengakibatkan wawasan negara untuk meningkatkan produktiviti rakyat melalui pengurusan yang komprehensif gagal dicapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih tiga dekad yang lalu.

Sehubungan itu, kepemimpinan yang ‘anti-kronisme’  tersebut perlu terus memberdayakan ‘serampang dua mata’ MARA; iaitu (1)Memberdayakan pendidikan Bumiputera; dan (2)Merapatkan jurang sosial antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Menurut Mahfuz, MRSM perlu diperbanyakkan untuk memberi peluang yang sama untuk Bumiputera mengubah taraf hidup mereka melalui pendidikan.

“Kalau kita ada 222 Parlimen di Malaysia, apa salahnya diperbanyak lagi MRSM khususnya di kawasan perdalaman (termasuk) di Sabah (dan) Sarawak supaya Bumiputera (seperti) Kadazan (dan) Dayak juga boleh menikmati peluang pengajian yang lebih baik (untuk) mengubah hidup masing-masing,” jelas Mahfuz.

Tambahnya, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Politeknik Mara juga perlu diperbanyak supaya tenaga mahir dan separa mahir dari kalangan Bumiputera turut boleh dipertingkatkan.

Ditanya tentang kaedah menjana pendapatan Mara untuk menampung kos-kos pelaburan ‘modal insan’ tersebut, Mahfuz mencadangkan suatu tranformasi dilakukan pada pada sistem pemilikan ekuiti Bumiputera.

“Dalam DEB, pemegangan 30 peratus saham di setiap syarikat yang disenaraikan (dalam) Bursa Saham Malaysia (BSM) mesti dimilik oleh Bumiputera (iaitu) kroni-kroni tertentu sahaja diberikan peluang menguasai ekuiti tersebut.

“Mengapa tidak 30 peratus ekuiti Bumiputera tersebut diserahkan (secara) langsung kepada MARA untuk tujuan pendidikan...itu lebih telus dan menutup peluang (mereka yang terbabit mengamalkan) kronisme,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera  secara persendirian itu merugikan Bumiputera secara kesuluruhannya.

“(Pada tahun) 1984 hingga 2001, kerajaan telah memberikan RM52 bilion (berupa) saham kepada Bumiputera, tetapi sekarang ekuiti tersebut hanya tinggal lebih kurang RM2 bilion sahaja,” jelasnya.

“Kalau Mara diberikan (secara) langsung 30 peratus ekuiti tersebut (dari) Bursa Saham Malaysia, tidak cukup lagikah untuk menampung kos pendidikan dan biasiswa...pemilikan tersebut tidak lari ke mana-mana.”

Jelas Mahfuz, punca berlakunya pengucupan ekuiti tersebut dipercayai umum disebabkan oleh sikap kroni-kroni terbabit sendiri apabila mereka sanggup menjual saham persendirian masing-masing kepada pihak yang ketiga untuk  menjadi ‘Jutawan Segera’.

Perkasakan Tabung Haji menjadi Baitul Mal Nasional Sdn. Bhd.

Berhubung cadangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah Kementerian Pembangunan Bumiputera (KPB) pula, Mahfuz mencadangkan badan tersebut diberdayakan menjadi Baitul Mal Nasional Sdn. Bhd. untuk menguruskan hartanah umat Islam di Malaysia.

“Tabung Haji tidak boleh lagi terus menjadi syarikat pengurusan Haji semata-mata sejak tiga dekad lalu lagi. Tabung Haji perlu diperkasakan (menjadi) Baitul Mal Sendirian (Berhad) untuk urus hartanah umat Islam,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan TH memanfaatkan sektor perlancongan yang sedia ada dengan membina rakan kongsi strategik dari kalangan agensi-agensi pelancongan Bumiputera.

Melalui fungsi baru TH, sedikit banyaknya mampu melaksanakan aktiviti kebajikan dalam kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

Rombak Permodalan Nasional berhad (PNB)

Melalui Kementerian Pembangunan Bumiputera, PNB pula dicadangkan untuk memberdaya bidang keusahawanan masyarakat Bumiputera.

“Kalau MARA menumpukan soal pemerkasaan ‘modal insan’ melalui bidang pendidikan, PNB perlu memperkasakan tahap hidup bumiputera secara keusahawanan,” jelasnya.

“(Fungsi) Tekun perlu dinilai semula, sekiranya PNB sudah cukup untuk menguruskan pinjaman kepada usahawan bumiputera secara adil.”

Menurut Mahfuz lagi, PNB seharusnya sebagai penjaga amanah (Custodian) kepada segala perbendaharaan, seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menjadi milik bersama Bumiputera.

Peranan ‘Pemegang Amanah’ ini sekaligus mampu meningkatkan saham Bumiputera dalam Bursa Saham Malaysia kelak kerana tidak ada campurtangan kaum pemodal dalam pemilikan saham-saham tersebut secara persendirian.

Yakinkan rakyat dengan model pengurusan

Bagi Mahfuz, rakyat perlu diperkenalkan dengan model pengurusan yang lebih baik, supaya mereka lebih yakin bahawa PAS serta Pakatan Rakyat layak mengantikan Umno dan BN dalam PRU13 kelak.

“Kementerian (Pembangunan Bumiputera) ini adalah suatu cadangan, seluruh pemimpin Pakatan Rakyat dan PAS sendiri boleh berbincang dan menolak sekiranya tidak sesuai.”

“PAS dan Pakatan Rakyat seharusnya mengemukakan suatu model pengurusan yang lebih baik, ‘anti-kronisme’, tolak nepotisme dan berintegriti, supaya rakyat boleh yakin dengan kemampuan kita untuk menjadikan Malaysia (sebagai) sebuah kerajaan (yang) kebajikan berbanding Umno (dan) BN,” jelasnya.

http://www.harakahdaily.net (28 Jan. 2010)

Rabu, Januari 27, 2010

Tiada pegawai kanan terlibat, namun ia dirancang rapi

Zulkifli Sulong   
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) memberitahu, kehilangan dua enjit jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2007 telah dirancang dengan rapi tetapi tidak membabitkan pegawai atasan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi TUDM.

Ekoran itu, beliau mengesahkan, perletakan pegawai kanan TUDM berpangkat Brigedier Jeneral sebelum ini sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tidak ada kaitan dengan kes ini.

"Kami sedar ada semacam persepsi bahawa pegawai kanan tentera terlibat tetapi sebenarnya tidak," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau bagimanapun mengesahkan, ia berlaku secara terancang dan rapi.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,  Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Rodzali Daud.

Ini adalah pertemuan kedua PAC dengan kementerian dan TUDM.

Azmi juga berkata, harga enjin jet ini bukannya RM50 juta sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini tetapi sekitar RM400,000 sahaja setiap satu.

Tidak puas hati
Sementara itu, salah seorang anggota PAC, Datuk Kamarudin Jaffar dari PAS ketika dihubungi berkata, beliau sendiri tidak berpuashati dengan keputusan penyiasatan ini kerana tidak banyak yang diperolehi dan masih banyak yang menjadi tandatanya.

"Bagaimanapun, pihak tentera telah berjanji untuk mempertingkatkan sistem penyimpanan alatan tentera mereka yang bagi saya amat strategik ini dan perlukan pegawai dan kakitangan yang tinggi disiplinnya," kata Kamarudin.

PAC mempunyai 11 anggota iaitu enam BN dan lima Pakatan Rakyat.

Pengerusinya adalah Azmi manakala timbalannya adalah Tan Seng Giaw anggota Parlimen Kepong dari DAP.

Menurut Kamarudin juga, pihak tentera memberitahu mereka, lebih dari seorang yang terlibat dari kalangan tentera namun Peguam Negara hanya mendakwa seorang sahaja iaitu seorang sarjan.

Sebelum ini, Sarjan TUDM N. Tharmendran dan pengarah syarikat, Rajandran Prasad telah didakwa ekoran kehilangan dua enjin jet ini.

Menurut Azmi Khalid, PAC dimaklumkan, senarai dua jet ini hilang dalam stor inventori TUDM Sungai Besi selepas dihantar dari Pulau Pinang ke situ.

Ia berlaku pada tahun 2007 tetapi hanya disedari kehiloangan itu setahun kemudian iaitu pada tahun 2008.

Malaysia membeli 14 jet F-5E pada tahun 1974 dan dilucutkan pentauliahannya pada tahun 1999. Namun enam darinya digunakan semula pada tahun 2003 sebagai pesawat latihan dan peninjau
.
http://www.harakahdaily.net (27 Jan. 2010)

Bukan Islam boleh guna Allah

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
KUALA LUMPUR 26 Jan. – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini terus mempertahankan sokongannya terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Pendirian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditulisnya sendiri dalam ruangan pendapat di The Wall Street Journal bertajuk “Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah.”

Anwar berkata, hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah Allah.
Katanya, ini kerana kalimah berkenaan telah diperakui wujud dalam kamus bahasa Arab kuno sebelum ketibaan Islam lagi.

Sebelum ini, Anwar juga pernah dikecam apabila menuduh Islam menindas kaum minoriti penganut agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi ketika menghadiri satu persidangan di Australia, Disember lalu.

Dalam artikel yang disiarkan hari ini, beliau berkata, beberapa bahasa semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani.

“Manuskrip sejarah membuktikan bahawa orang Islam, Kristian dan Yahudi yang menggunakan bahasa Arab secara kolektif telah menyembah tuhan pencipta serta pentadbir alam semesta yang dipanggil Allah lebih 1,400 tahun lalu.

“Sejarah Islam di Asia Tenggara pula telah dikenali dengan tradisi kemajmukan yang merangkumi semua, manakala hubungan persahabatan antara orang Islam dan bukan Islam telah menjadi satu norma sejak beberapa generasi.

“Sehubungan itu cendekiawan Islam di luar negara melihat isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menduga ia mencetuskan bantahan dan kemarahan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar membuat dakwaan bahawa kelemahan Malaysia dalam menangani isu membabitkan agama dan perbezaan kaum bukannya sesuatu yang luar biasa.

Katanya, layanan buruk kepada kumpulan minoriti di negara Islam selalunya lebih teruk daripada perbuatan serupa yang dikecam umat Islam di negara Barat.

“Kita telah melihat bagaimana orang Islam di seluruh dunia membantah undang-undang mendiskriminasi mereka yang diluluskan di negara Barat yang sepatutnya lebih liberal dan progresif.

“Sebagaimana Perancis serta Jerman dalam isu pemakaian burqa dan Switzerland dengan isu menara masjid, begitulah juga Malaysia yang seringkali gagal menyediakan suasana selamat dan terjamin terhadap masyarakat minoriti,” katanya.

Sementara itu, Anwar mendakwa ketegangan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dicetuskan oleh beberapa pemimpin politik yang semberono, media arus perdana dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kaitan dengan ahli dan pemimpin UMNO.

Utusan Malaysia. 27 Jan. 2010

Kelantan lebih ‘pandai’ daripada Pusat urus harta rakyat

Rizal Tahir
KETEREH, 26 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pimpinan kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat termasuk hasil royalti berbanding Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan kerajaan Kelantan yang sentiasa bersikap telus.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed, yang mendakwa Kerajaan Pusat enggan menyerahkan royalti kerana dibimbangi kerajaan negeri tidak pandai mengurus.

Pada masa yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu juga bimbang, Kelantan akan menggunakan royalti untuk kegunaan politik.

Menurut Nik Abdul Aziz, beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu dan Perak didapati runtuh, sama ada jambatan, masjid dan sebagainya akibat tidak pandai mengurus di samping berlakunya amalan rasuah.

“Alhamdulillah, setakat ini pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk jambatan tidak pernah runtuh, malah jambatan berdekatan rumah Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar jauh lebih rendah berbanding harga asal yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan rasmi ke Kolej Yayasan Islam Kelantan, Kok Lanas, dekat sini, semalam.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengarah Yik, Ahmad Robert Abdul Rahim, pegawai-pegawai Yik.

Sambungnya, sebaliknya jambatan yang terletak di Kampung Beris Jambu yang dilaksanakan oleh kerajaan BN hanya panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya.

Tambah Tuan Guru lagi, pemimpin kerajaan Pusat jangan ‘perasan’ mendakwa hanya mereka pandai mengurus wang rakyat sehingga berasa bimbang hasil royalti digunakan untuk tujuan politik.

Menurutnya, Kelantan sebagaimana juga negeri lain mempunyai Raja, Dewan Undangan Negeri, rakyat malah mempunyai kerajaannya sendiri, namun kenapa ianya harus disalurkan sesuka hati.

“Apakah kerajaan Kelantan tidak mempunyai Raja, atau kerajaan Kelantan tidak sah serta tiada undang-undang, apa ni… insya Allah, rakyat yang tak puas hati akan mengambil keputusan yang di luar jangkaan terhadap mereka,”ujarnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan tidak pernah mempolitikkan soal royalti, sebaliknya pemimpin kerajaan Pusat yang bertindak sedemikian hingga menafikan hak kerajaan negeri.

“Kalau minyak keluar dari pantai Terengganu, tak payah undang-undang untuk menyekat daripada minyak mari (datang) ke Kelantan, tetapi bila minyak keluar daripada perut Kelantan, kenapa pula perlu membuat undang-undang?

“Jawabnya tiada lain hanya untuk menyekat kuasa politik kerajaan Kelantan bagi mendapatkan hak royaltinya, namun apabila hasil minyak keluar dari negeri ini, nak buat undang-undang, tidakkah itu membuktikan kerajaan Pusat telah bermain politik?”soalnya lagi.

Katanya, kerajaan Pusat terlebih dahulu berpolitik berbanding dengan PAS di Kelantan. Tuan Guru sekali lagi menegaskan, kerajaan negeri tidak sekali-kali akan menerima wang ehsan apa lagi sekiranya disalurkan pada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

http://www.harakahdaily.net 27 Jan. 2010

Selasa, Januari 26, 2010

Kerajaan Kelantan perlu utamakan rakyat

SHAH ALAM - Kerajaan Kelantan perlu utamakan kepentingan rakyat sebelum bertindak menolak sebarang rundingan mengenai pemberian wang ihsan dengan Kerajaan Pusat.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, penolakan itu akan merugikan rakyat, sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati pembangunan dan kehidupan selesa melalui pemberian wang ihsan.

Menurutnya, ia juga merugikan Kerajaan Negeri jika tidak mahu berunding dan menyuarakan pandangan mengenai wang ihsan dalam jawatankuasa tersebut.

“Seharusnya dalam jangka masa pendek, Kelantan perlu menerima wang itu secara terbuka bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada rakyat.

“Selepas itu, mereka boleh mengadakan rundingan royalti minyak secara muhibah bersama Kerajaan Pusat,” katanya kepada Sinar Harian semalam

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menolak tawaran yang dikemukakan Kerajaan Pusat untuk melantik wakil Kerajaan Kelantan dalam jawatankuasa pembangunan wang ihsan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Tujuan dijemput dalam jawatankuasa itu bagi memberi ruang wakil Kerajaan Negeri untuk terbabit sama dalam perbincangan selain memberi pandangan mengenai tindakan yang perlu dilakukan dengan wang ihsan yang disalurkan nanti.

Berikutan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dilaporkan berkata, beliau sama sekali tidak akan menerima sebarang rundingan mengenai pemberian wang ihsan malah akan menyebarkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Pusat mencuri harta Kerajaan Negeri.

Sinar Harian. 26 Jan. 2010

Kami lebih pandai urus wang minyak: Nik Abdul Aziz


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan sesetengah menteri Pusat yang menganggap Kerajaan Negeri tidak berkeupayaan mengurus wang royalti minyak.

Menurutnya, beliau lebih tahu keupayaan pentadbiran negeri yang bersih dari gejala rasuah dan mampu menguruskan wang hasil minyak negeri lebih baik berbanding dengan apa yang dilakukan Barisan Nasional (BN).

“Kami lebih pandai, jauh lebih pandai (dari BN). Kami tak ada rasuah, stadium dan masjid tidak pernah runtuh, yang menyebabkan runtuh itu kerana tidak pandai,” katanya hadir melawat ke Kolej Yayasan Islam Kelantan di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek yang menyatakan Kerajaan Pusat tidak memberi wang royalti disebabkan bimbang cara pengurusan Kerajaan Pas Kelantan.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, Kerajaan Pusat harus menyedari Kelantan mempunyai kerajaan sah dan berhak menerima wang hasil keluaran perut bumi negeri ini.

“Kelantan ada kerajaan, ada raja, ada bendera, ada Dewan Undangan Negeri. Kenapa mereka bertindak seolah-olah negeri ini tidak ada kerajaan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nik Abdul Aziz turut membidas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang disifatkan lebih dahulu berpolitik dalam urusan pemberian royalti minyak.

Katanya, bukti sudah jelas apabila Kerajaan Persekutuan mengadakan undang-undang semata-mata untuk menyekat hak royalti Kelantan sedangkan ia tidak berlaku kepada negeri Terengganu yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Nik Aziz berkata, beliau sedia menerima apa sahaja nama pemberian hasil minyak Kerajaan Persekutuan dengan syarat ia harus disalurkan kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Kosmo! 26 Jan. 2010

Jom bebaskan tekanan


USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.


Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan. Luahkan tekanan anda, tapi biarlah dengan cara yang betul!

USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.LEWAT kebelakangan ini semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.

Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan.

Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri. Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang?

Jika mahu diluahkan apakah cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri dari rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.
Untuk pembaca ruangan GenK, jom kita ikuti beberapa tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.

1) Tidur yang mencukupi
Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak. Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga hingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman.
Penemuan itu dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.

2) Berwuduk (bagi yang beragama Islam)
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Secara psikologi ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.

3) Lakukan kegiatan luar seperti

bersukan
Badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Justeru, segala tekanan sewaktu bekerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

4) Amalkan diet
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet. Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

5) Menangis sepuas hati
Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati. Biasakan dengan menzahirkan masalah anda di atas kertas atau meluahkannya kepada rakan karib anda. Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja. Menangislah sepuas-puasnya tapi anda perlu tahu bila masa terbaik untuk berhenti.

6) Tingkat keyakinan diri
Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh biarpun ia susah.Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita. Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

7) Cintai diri sendiri
'Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain'. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain. Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.

8) Tarik nafas dalam-dalam
Bila anda tiba-tiba rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam.Lakukannya beberapa kali. Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia akan membantu anda berfikir dengan lebih wajar.

Kosmo! 26 Jan. 2010