Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, April 28, 2010

Pendidikan seks

Akhir-akhir ini banyak kejadian buang bayi. Perbuatan tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun ini mengundang pelbagai reaksi dan resolusi agar kejadian umpama ini akan berkurangan. Salah satunya adalah melalui pendidikan seks di sekolah!

Bagi aku langkah ini bukan yang terbaik. Apa yang lebih penting adalah pendidikan Agama yang perlu dipergiatkan di peringkat sekolah mahupun di dalam institusi kekeluargaan dan juga komuniti. Pendidikan Islam misal telah mengajar banyak perkara dalam hala sebegitu. Jika nilai Islam itu diterapakan dalam diri masing-masing nescaya perbuatan terkutuk dan keji ini akan lenyap.

Dan langkah kerajaan bahawa pendidikan seks tidak diajar di sekolah adalah yang terbaik. Islam adalah segala-galanya.

Bahtera Nabi Nuh ditemui


PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.


HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

Kosmo!28 April 2010

Cerita bola; Amaran kebangkitan Kelantan


SENTUHAN Nurshahrul terus berbisa apabila berjaya meledakkan dua gol ketika Kelantan membenam KL Plus 3-0 di Stadium MBPJ kelmarin.


TIGA kemenangan berturut-turut dengan sembilan gol boleh dianggap satu amaran daripada Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini selepas agak tenggelam diawal musim.

Malam kelmarin giliran KL Plus menjadi mangsa selepas dijinakkan 3-0 melalui dua jaringan penggempur kebangsaan Nurshahrul Idlan Talaha dan jaringan menarik pemain berpengalaman, Hairuddin Omar.

Apa yang menarik untuk diperkatakan selain perlawanan yang menyaksikan Kelantan menguasai perlawanan itu adalah kebangkitan yang ditunjukkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang dilihat sudah mula menemui sentuhan.

Namanya turut tersenarai dalam catatan pengendali Kelantan, B. Sathinathan sebagai antara pemain yang perlu diberikan pujian ekoran dua aksi yang cukup memberangsangkan walaupun masih belum menyumbang gol untuk pasukan.

Menurut Sathia, Akmal Rizal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan gandingannya bersama Norshahrul sudah menampakkan keserasian dan memberikan kesan yang cukup baik dalam misi Kelantan memburu kejuaraan.

"Saya memberinya kepercayaan dan nampaknya dia tidak mensia-siakan kepercayaan yang saya berikan itu. Dia semakin meningkat dan saya masih percaya dia mampu melakukan sesuatu untuk pasukan.

"Dia sentiasa ingin bermain bola sepak sebab itu saya lihat bagaimana dia keluar dari krisis keyakinan dan mencari kekuatan mental itu cukup luar biasa hebatnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan satu perlawanan yang sengit berdepan KL Plus selepas Kelantan kehilangan dua tonggak, Shakir Saari dan S. Chanturu selain ketua pasukan, Indra Purta Mahayuddin yang tidak cergas sepenuhnya akibat demam.

Jelasnya, selepas Norshahrul berjaya memecah benteng KL Plus, beliau bertambah yakin dengan persembahan anak-anak buahnya yang bermain seperti yang telah dirancang.

"Inilah yang saya katakan, sebuah pasukan yang baik tidak hanya bergantung kepada seorang pemain dan para pemain yang ada sering bersaing untuk merebut tempat kerana peluang itu sentiasa terbuka.

"Sebagai pemain, jika anda turun bermain dengan jiwa untuk mendapatkan kejayaan, percayalah siapapun lawan anda, pasti pasukan anda akan menang dan saya sentiasa mahu melihat pemain saya beraksi dengan jiwa seperti itu," ujarnya.

Sathia mengharapkan pemain-pemainnya mampu mengekalkan prestasi yang ada untuk menempuh perlawanan yang akan datang selain sentiasa bekerja keras untuk menjamin kemenangan pasukan.

Zahid kecundang

Akhirnya Hulu Selangor kembali kepada Barisan Nasional apabila Kamal berjaya mendapat perhatian pengundi-pengundinya. Dengan kemenangan ini BN boleh menarik nafas lega kerana majoriti rakyat di Hulu Selangor telah menolak PKR dan kembali kepada BN. Di pihak PKR pula mungkin ada postmoterm segera yang akan dilakukan untuk menyiasat punca tewas.

Walausiapa pun menang dan kalah, pokok persoalannya adakah rakyat akan lebih bergembira dengan keputusan ini? Apa yang penting adalah tugas wakil rakyat yang tampil untuk mewakili rakyat betul-betul diwakili dengan seadilnya.

Bagi yang tewas pula jangan terus lupa untuk membantu kerana ini jika ini dilupakan ia akan memakan diri untuk pilihan raya akan datang. Dan yang lebih penting bantu membantu itu bukan kerana duniawi tetapi kerana akhirat.

Pada 16 Mei ini pula akan berlangsung satu lagi PRK, kali ini di Sibu, Sarawak. Calon BN, Robert Lau Hui Yew (Penolong Bendahari SUPP Sibu) akan ditentang oleh Pengerusi DAP Sarawak yang juga ADUN Bukit Assek, Wong Ho Leng.

Ahad, April 25, 2010

Zahid Ibrahim vs Kamal

Hari ini rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan perebutan kuasa di Hulu Selangor menerusi calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Kedua-dua wakil ini akan bertanding untuk menjadi wakil kepada rakyat.

Dalam keghairahan berkempen ini setiap "pasukan" telah mempersiapkan diri dengan apa cara sekalipun. Media eletronik dan cetak misalnya digunakan semahu-mahunya untuk kemenangan calon masing-masing. PKR misalnya memperhebatkan dengan cara teknologi maya seperti melalui blogger dan sebaran internet. Ada juga yang menggunakan media cetak seperti Harakah, Suara Keadilan dan sebagainya. Di pihak BN pula kempennya lebih meluas dengan menguasai media eletronik dan cetak. Stesen-stesen TV yang ada memainkan peranan yang besar. Begitu juga dengan media cetak seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya; digunakan untuk berkempen habis-habisan.

Dalam kerancakan kempen ini, kuasa rakyat yang akan menentukan siapa wakil mereka. Rakyat akan memilih dan akan menolak. Apa yang pasti rakyat inginkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Persoalannya mampukah wakil mereka ini merealisasikan hasrat rakyat? Sering kali juga terjadi wakil rakyat yang betul-betul menjadi wakil ketika pilihan raya, selepas itu wakil ini terus hilang sehinggalah pilihan raya kemudiannya pula.

Apa-apa pun tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin. Wakil rakyat tunaikan tugasnya dan rakyat akan tunai tugasnya masing-masing.

Jangan Pilih Badut 

Cerita bola; Tahniah Hairuddin

Hairuddin akhirnya meledak denga jaringan menarik untuk membolehkan Kelantan mengutip tiga mata sewaktu berkunjung ke halaman KL Plus FC, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Perlawanan yang hampir melabuhkan tirainya untuk pusingan pertama ini dimanfaatkan oleh Hairuddin dengan jaringan yang sungguh menarik: bermula daripada sepakan sudut Farhan, kemudian mendada dan terus membuat voley menarik untuk menewaskan penjaga gol KL Plus.

Pada awal saingan Hairuddin kadang-kadang dilihat sebagai "pengacau" dalam pasukan Kelantan kerana kelibatnya di pintu gol sentiasa mengecewakan penyokong Tok Janggut. Perlawanan sebelum ini juga kita sering melihat Hairuddin menggunakan kepalanya untuk menjaring gol tetapi semuanya hampa. Namun malam 25 April bertempat di tempat lawan Hairuddin berjaya meledak gol dengan kakinya. Sebelum jaringan itu Hairuddin mencemaskan gawang KL Plus dengan percubaan awalnya, tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol KL Plus. Percubaan kedua akhirnya berjaya diterjemahkan dengan gol menarik. Tahniah dan terima kasih kepada Hairuddin kerana sumbangan anda.

Seperti juga Hairuddin, Akmal Rizal juga sering kali menghadapi masalah penyudah di pintu gol. Pada perlawanan ini Akmal beroleh lebih dari dua peluang keemasan tetapi semuanya tiada penyudah yang berkesan. Walaubagaimanapun Akmal juga mempunyai watak penting bagi jaringan pertama yang dilakukan oleh Norshahrul Idzlan Talaha. Akmal yang membuat hantaran menarik ke arah Idzlan membolehkan penyokong Kelantan bergembira dengan jaringan pertama itu.

Jaringan ketika menentang KL Plus sepatut lebih besar tetapi Kelantan hanya berjaya membawa balik tiga gol menerusi dua jaringan Idzlan (minit 27 & 39) dan satu daripada Hairuddin (minit 73). Badri misalnya boleh menambah sekurang-kurangnya dua gol. Di sini aku lihat Badri @ Piya seakan-akan begitu yakin dengan beberapa percubaannya, tetapi kesudahannya bola meliar ke luar padang dan juga ada yang ditepis keluar oleh penjaga gawang KL Plus.

Penonton??? Tidak kelihatan perlawanan ini berlangsung di Kuala Lumpur, kerana sebahagian ruang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dilimpahi penyokong Kelantan.

Bakal menerima kunjungan Pahang, Kelantan sekali lg mengharapkan kemenangan mutlak untuk terus merapatkan jurang liga di Belakang Selangor dan Terengganu.

Skuad Pantai Timur terus gegar 

Cerita bola; Selangor makin selesa

KUALA LUMPUR - Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas mengalahkan T-Team 3-0 di Stadium Shah Alam, semalam sekali gus melupakan seketika kekecewaan tersingkir daripada saingan Piala AFC.

Safee Sali muncul wira buat skuad bimbingan K. Devan apabila menyumbat dua gol pada minit ke-43 dan 51, sebelum itu Bunyamin Umar telah meletakkan Selangor di depan melalui jaringan minit ke-34.
Kemenangan Selangor itu membolehkan mereka memiliki kelebihan tiga ke atas pasukan tempat kedua Terengganu selepas 11 perlawanan.

Terengganu semalam mencatatkan kemenangan besar 4-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila Abdul Manaf Mamat menjaringkan dua gol pada minit ke-15 dan 58, diikuti jaringan Joseph Kalang Tie (32) dan Mohd. Ashaari Shamsuddin (35).

Sementara itu, Kelantan terus cemerlang apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengalahkan KL Plus 3-0 di gelanggang lawan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan dua gol disumbang oleh Norsharul Idlan Talaha pada minit ke-27 dan 39 sebelum Hairuddin Omar meledak gol tunggal di minit ke-73.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang berjaya menewaskan pasukan pelawat, Kedah 2-1 walaupun ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama melalui jaringan Baddrol Bakhtiar sebelum bangkit hasil jaringan Azamuddin Mohd. Akil minit ke-49 dan Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh minit ke-81.

Keputusan lain menyaksikan Kuala Lumpur menang tipis ke atas Perak 2-1 hasil jaringan Raimi Md. Nor pada minit keempat dan Badrul Hisyam Azmi minit ke-49 sebelum Perak cuba bangkit melalui gol tunggal Nazri Kamal lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Utusan Malaysia (25 April 2010)

Khamis, April 22, 2010

Kelantan dapat semangat baru

Oleh KHAIRI MOHAMAD
DUA kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan juara Piala FA, Negeri Sembilan minggu lalu seakan-akan memberi 'angin' baru kepada Kelantan yang kini melonjak ke tangga ketiga Liga Super.

Malam kelmarin, Kuala Lumpur menjadi mangsa aksi bertenaga sang Kijang yang berjaya membenam cabaran anak-anak buah Razif Ismail 3-0.

Turun sebagai pasukan pilihan, Kelantan tidak mempunyai banyak masalah untuk mengatasi skuad warga kota itu yang nyata masih mentah dan kurang berpengalaman.

Bagi pengendali Kelantan, B.Sathianathan, anak-anak buahnya beraksi mengikut apa yang telah dirancang dan kemenangan itu menambahkan lagi semangat mereka untuk mengharungi baki saingan Liga Super.

Katanya, aksi malam kelmarin sepatutnya mampu memberikan Kelantan lebih banyak gol tetapi kegopohan para pemainnya menyaksikan mereka sekadar berpuas hati dengan jaringan tiga gol.

"Saya sudah menjangkakan kemenangan tersebut dan apa yang membuatkan saya gembira apabila para pemain sudah mula menunjukkan peningkatan. Mereka punya hasrat untuk jadi juara dan semalam mereka buktikan.

"Mungkin kita mampu dapat lebih dari tiga gol malam tadi (kelmarin) tetapi inilah bola sepak, tidak semua peluang yang ada mampu disempurnakan.

"Pasukan yang baik pasti akan sempurnakan banyak peluang dan kami pasti akan bekerja lebih keras untuk itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, enam gol dalam dua perlawanan sebelum ini membuktikan jentera serangannya semakin berbisa.

Sathianathan berkata, walaupun berjaya mendapat mata penuh, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki terutama kegopohan ketika berada di depan pintu gol.

"Ruang rehat selama empat minggu sebelum ini kita gunakan untuk mempertajamkan penyudah dan nampaknya ia sudah membuahkan hasil. Kita akan terus mencari kemenangan dengan jumlah gol yang lebih banyak," ujarnya.

Cerita bola; Sepatutnya lebih banyak

Saingan Liga Super pada 20 April lalu menyaksikan Kelantan selesa dengan 3-0 ke atas Kuala Lumpur. Dua jaringan Idzan Talaha dan satu daripada Badri cukup mengembirakan penyokong. Kemenangan Kelantan ini melonjakan lagi semangat peminat setia.

Apa yang menarik adalah corak permainan Kelantan seolah-olah tidak menghadapi walau sedikitpun tekanan dari pasukan lawan. Asakan ke kubu lawan akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan. Dan perlawan pada malam itu sepatutnya lebih meriah dengan jaringan yang lebih besar. Kelantan boleh menambah jumlah jaringan yang lebih besar jika percubaan pemain seperti Chanturu, Akmal dan beberapa pemain lain dimanfaatkan. Kegopohan dan over confident pemain Kelantan sekurang-kurangnya melegakan Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 17 April lalu Kelantan membawa khabar gembira dari Paroi, Negeri Sembilan apabila berjaya menumbangkan Juara Piala Malaysia 2009, dan Juara Piala FA 2010 dengan jaringan 3-1. Jaringan Indra, Daudsu dan Badri seakan membalas dendam kekalahan Kelantan pada aksi final 2009.

Dalam kebangkitan ini aku rasakan tidaklah dipandang sangat oleh sebilangan media. Dua kemenangan berturut-turut tidak diberi tumpuan utama oleh media. Sebaliknya kebangkitan dan kemerosotan pasukan lain diberi tempat utama dalam laporan mereka. Tetapi jika ada berlaku sesuatu yang "panas" sudah pasti ini sebagai fokus utama media.

Perlawanan di Paroi 17 April lalu dikejutkan dengan dentuman mercun, namun tiada apa-apa laporan dari media. Barangkali pada malam itu media terlalu fokus dan asyik dengan perlawanan sehinggakan tidak mendengar dentuman mercun.

Dalam kehangatan kebangkitan ini muncul pula beberapa berita yang mengiringi skuad Kelantan. Kenaikan cukai hiburan yang dikenakan oleh kerajaan Kelantan ke atas KAFA amat dirasai oleh persatuan. Dan kemudiannya pihak kerajaan tampil dengan menjelaskan mengenai hal tersebut. Walau apa-apa pun kita mengharapkan situasi ini tidak menjejaskan prestasi pasukan.

Cerita Bola; Kelantan hapus cukai bola sepak


Oleh; Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 21 April: Kerajaan negeri Kelantan bersetuju memansuhkan bayaran cukai hiburan yang tertunggak ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerusi  hasil jualan tiket perlawanan bola sepak kira-kira RM250,000 sejak tahun 2003.

Bayaran tersebut perlu dijelaskan oleh persatuan kepada kerajaan negeri sebanyak lima peratus menerusi hasil jualan tiket sebagaimana mengikut Enakmen Hiburan Kawalan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata mesyuarat exco hari ini bagaimanapun memutuskan pemansuhan bayaran tersebut hanyalah sehingga perlawanan 12 Mac lalu.

Katanya, bermula dari perlawanan Liga Super malam tadi, KAFA  tetap perlu membayar cukai hiburan lima peratus sebagaimana yang disyaratkan.

Jelasnya lagi, cukai hiburan yang belum diselesaikan KAFA sejak 2003 sehingga sekarang berjumlah lebih RM 250,000 akan dikira sebagai sumbangan daripada kerajaan negeri kepada KAFA.

“Pada tahun lepas KAFA mengutip RM 2,755, 056 hasil jualan tiket dan perlu membayar cukai hiburan lima peratus sebanyak RM 137,752.80.

“Tahun ini pula, sehingga malam tadi, mereka membuat kutipan sebanyak RM 1,284,842 dan sepatutnya membayar RM 64, 242.10

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri memutuskan KAFA tidak perlu melangsaikan cukai yang dikenakan sehingga perlawanan 12 Mac lalu dan cukai lima peratus itu, bagaimanapun ianya hanya akan dikira semula bermula perlawanan malam tadi.

Fatah berkata menurut Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan, apa-apa jenis pertandingan sukan antara apa-apa bilangan orang atau binatang adalah tertakluk di bawah takrif hiburan dan duti yang dikenakan itu dikuatkuasakan menerusi Akta Duti Hiburan 1953.

Fatah bagaimanapun menjelaskan, pihak KAFA pernah membayar cukai yang sama pada tahun 2003 dan 2004, namun  masih terhutang sebanyak RM60, 689.

Oleh itu katanya tidak timbul soal terkejut dengan surat daripada Perbendaharaan Negeri yang membuat peringatan mengenai cukai lima peratus tersebut kerana ianya prosedur biasa yang perlu dipatuhi.

“Sejak dahulu lagi dari masa ke semasa pihak kerajaan menghantar surat peringatan tentang cukai kepada KAFA.

“Sebab itu saya agak hairan dengan tindak balas KAFA tentang perkara ini, kita tidak perlu berperang dan bukalah lembaran baru demi kepentingan sukan negeri ini,” katanya.

Fatah memberitahu lagi, kerajaan negeri akan menghantar surat secara rasmi kepada KAFA mengenai pemansuhan hutang tersebut.

Menurutnya, ini adalah sebahagian sokongan kerajaan negeri kepada persatuan khususnya bola di negeri ini.

Sementara itu, Fatah mengucapkan tahniah kepada skuad Kelantan yang berjaya menentang Kuala Lumpur malam tadi dengan keputusan 3-0.

Sehubungan itu, menurutnya lagi beliau terus mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Anuar Musa di atas kejayaan itu melalui system pesanan ringkas (sms).

Media semalam melaporkan tentang rayuan daripada Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa agar kerajaan memansuhkan caj cukai hiburan tersebut yang dianggap sebagai keterlaluan.

http://www.harakahdaily.net

Selasa, April 20, 2010

Kelantan tekad kekal rentak ketika benam juara Piala FA

SELEPAS ghairah membenam juara Piala FA musim ini, Negeri Sembilan di gelanggang lawan itu, Kelantan berazam mengekalkan rentak kemenangan dan persembahan konsisten bagi mengutip tiga mata penuh ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu, malam ini. 

Keazaman tinggi itu dilaungkan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, yang mahu memastikan pemburuan tiga mata di gelanggang sendiri tidak tercicir.

Sambil mengajak rakan sepasukan tidak alpa dengan kedudukan Kuala Lumpur yang dibarisi pemain berkaliber harus diberi perhatian demi mengelakkan The Red Warriors tidak berputih mata.

“Kita tidak harus pandang mudah keupayaan Kuala Lumpur sebaliknya meneruskan rentak cemerlang secara konsisten dalam pertemuan kedua-dua pasukan di gelanggang sendiri esok (malam ini).

“Saya yakin kejayaan membenam Negeri Sembilan yang baru dinobatkan selaku juara Piala FA musim ini menyuntik angin baru kepada kami untuk terus konsisten dalam kempen Liga Super, apatah lagi melayan kunjungan Kuala Lumpur di tempat sendiri,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Berita Harian 20 April 2010

Cukai hiburan bebankan Kafa


Oleh Ismail Muhamad
bhsukan@bharian.com.my (20 April 2010)
Kini kami terpaksa bayar lebih RM40,000 bagi satu perlawanan: Annuar

DI SEBALIK kebanjiran penonton setiap kali Kelantan turun beraksi di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini berdepan dengan kutipan cukai hiburan yang mahu dikutip kerajaan negeri.

Surat berhubung penetapan bayaran cukai hiburan itu dihantar kepada Kafa oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat pada 13 April lalu, memaklumkan keputusan kerajaan negeri itu.

Tanpa bantuan kewangan dihulurkan kerajaan negeri, tuntutan cukai baru itu meningkatkan lagi beban yang terpaksa dipikul kepemimpinan Kafa yang selama ini dibebani dengan pelbagai cukai dan sewaan daripada kerajaan negeri.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan arahan terbaru itu satu lagi beban baru kepada persatuan itu dan kemungkinan mereka terpaksa menaikkan harga tiket lebih tinggi daripada kadar RM12 sekarang.

Katanya, surat Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan bertarikh 13 April lalu mengarahkan Kafa membawa tiket bola sepak sebelum dijual kepada orang ramai ke pejabat berkenaan untuk dicop dan ditaksir cukai yang perlu dibayar persatuan itu.

Katanya, penaksiran cukai itu membebankan Kafa yang kini terpaksa membayar lebih RM40,000 bagi satu perlawanan bola sepak membabitkan bayaran levi sehingga 20 peratus, cukai perkhidmatan sampah, sewa ‘score board’ dan bilik mesyuarat di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

“Arahan terbaru daripada Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan ini jelas membebankan Kafa dan saya harap bola sepak tidak diletakkan dalam kategori hiburan kerana ia adalah acara sukan di bawah Akta Sukan.

“Kafa terpaksa membelanjakan antara RM250,000 hingga RM300,000 sebulan bagi pengurusan pasukan dan adalah tidak wajar kita dibebani dengan pelbagai cukai dan sewaan termasuk yang terbaru cukai hiburan ke atas tiket bola sepak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bonus khas sebanyak RM20,000 kepada pegawai dan pemain Kelantan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu, semalam.

Penjelasan dari kerajaan negeri 

Cerita bola; Misi mudah The Red Warriors di gelanggang sendiri

SELEPAS berjaya menumbangkan Negeri Sembilan di Paroi, Sabtu lalu, Kelantan seperti tidak mempunyai masalah besar apabila dijadualkan turun menentang Kuala Lumpur di gelanggang keramat mereka Stadium Sultan Muhammed IV malam ini, lapor KHAIRI MOHAMAD. 

Biarpun mencatat kemenangan yang begitu manis terutama ketika aksi di gelanggang lawan tempoh hari, ada sesuatu yang mengundang resah di benak pengendali Kelantan, B. Sathianathan ketika mereka bakal berdepan skuad warga kota yang dibarisi pemain muda.

Menurutnya, Kelantan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan akan memberi tekanan berbanding Kuala Lumpur yang akan bermain dengan lebih selesa.

"Dilabel sebagai pasukan pilihan bukan suatu yang baik bagi saya. Rata-rata mereka adalah pemain muda serta tidak mempunyai 'nama' lagi dalam dunia bola sepak tanah air yang sudah tentu memberi kelebihan.

"Jika perlawanan biasa mereka memberikan 80 peratus, bertemu Kelantan mereka pasti akan memberi 180 peratus untuk membuktikan sesuatu dan itu yang menakutkan saya," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau bimbang sekiranya para pemainnya terlebih yakin serta sambil lewa ketika turun menentang Kuala Lumpur yang pasti akan mengundang padah

Jelasnya, dalam kancah Liga Super tiada pasukan boleh dilabel sebagai pasukan belasahan dan boleh dipandang mudah oleh pasukan lain kerana pasukan yang bertanding merupakan pasukan yang beraksi dengan baik.

"Jangan panggil Liga Super kalau anda rasa ada pasukan yang boleh dibelasah kerana pasukan yang ada dalam liga ini mempunyai kekuatan masing-masing dan semua pasukan mahu mencipta kejutan.

"Saya mengharapkan kita mampu mengekalkan momentum seperti yang dilakukan di Paroi dan saya mahu pemain beraksi lebih baik daripada itu terutama ketika beraksi di hadapan penonton sendiri," ujarnya.

Sathia turut meminta para peminat Kelantan supaya bersabar dan kemenangan ketika menentang Negeri Sembilan dilihatnya sebagai 'batu loncatan' atau permulaan kepada pasukan Kelantan untuk memburu kejuaraan.

"Kelantan adalah sebuah pasukan yang baru dibentuk dengan kemasukan pemain-pemain baru dan saya berharap penonton bersabar sebelum kita mendapat hasilnya.

"Kita hanya tewas sekali musim ini, itupun ketika perlawanan Piala FA dan perjalanan untuk saingan Liga Super masih panjang. Kami yakin dapat melakukan sesuatu," jelasnya.

Kosmo! 20 April 2010

Cerita Bola; Ramalan Sathia jadi kenyataan

TELAHAN jurulatih Kelantan, B. Sathianathan yang menyifatkan pertembungan dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin seperti menjadi kenyataan, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Namun, wataknya berbeza apabila kini giliran Sathia yang menghela nafas lega sebaik Kelantan berjaya menundukkan Negeri Sembilan 3-1 yang baru dinobatkan juara Piala FA minggu lalu.

Tanpa berselindung, Sathia menghamburkan pujian dan terima kasih kepada barisan pemainnya yang bangkit dengan se- mangat luar biasa walaupun sering dikritik sebelum ini ekoran aksi yang terumbang- ambing.

Menurutnya, 20 minit permainan Kelantan terpaksa bertahan apabila anak buah Wan Jamak Wan Hassan mengatur gerak yang berbahaya, namun benteng Kelantan yang diterajui Azizi Mat Rose begitu tenang mematahkan asakan.

"Kejayaan menewaskan sebuah pasukan seperti Negeri Sembilan di gelanggang mereka bukan sahaja memberi tiga mata penuh, lebih dari itu, ia satu kejayaan moral sebagai bekal untuk mengharungi perlawa- nan yang akan datang," katanya ketika di- hubungi semalam.

Tambahnya, beliau percaya Kelantan musim ini adalah sebuah pasukan yang baru dibentuk dengan 'adunan' baru dan ini adalah permulaan baik untuk mengharungi baki saingan liga.

Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan terlebih dahulu mengejutkan Negeri Sembilan menerusi jaringan Indra Putra sebelum Daudsu Jamaluddin dan Badri Radzi menambah dua lagi jaringan bagi malam gemilang Kelantan.

Negeri Sembilan berjaya mendapatkan gol sagu hati melalui Shukor Adan, namun gagal menyekat kemaraan Kelantan yang begitu dahagakan kemenangan.

"Saya berharap momentum sebegini akan terus dikekalkan," kata Sathianathan lagi.

Kosmo!

Sabtu, April 17, 2010

Cerita Bola; Sathianathan yakin di Paroi

KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menyifatkan pertemuan dengan juara Piala FA, Negeri Sembilan, di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi hari ini, ibarat ulangan final Piala Malaysia musim lalu.

Lantaran itu, Sathianathan mengakui ia merupakan ujian getir buat pasukannya, untuk mengutip mata dalam usaha mendaki ke puncak Liga Super.

"Kita hormati Negeri Sembilan, mereka punyai barisan yang mantap dan rata-rata pemain sudah serasi dengan corak yang diterapkan.

"Saya harap keputusan yang bakal dicatatkan tidak sama dengan keputusan perlawanan akhir musim lepas," ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Tambahnya, Kelantan berdepan situasi getir setelah tiga minggu berehat tanpa sebarang perlawanan, sebaliknya Negeri Sembilan aktif dengan saingan peringkat Piala FA.

Jelasnya, tempoh rehat selama tiga minggu tanpa perlawanan kompetitif, digunakan sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan.

"Saya mengingatkan pemain supaya jangan bimbang apabila bertemu Negeri Sembilan. Saya optimis kami ada peluang," katanya.

" Kami tahu mereka kuat, jadi saya arahkan pemain agar memberikan tumpuan seratus peratus pada perlawanan itu nanti," katanya.

Kelantan dijangka tidak akan menurunkan pertahanan kiri, Zairul Fitri Ishak di Paroi, kerana pemain itu sakit mata.

Penyerang Hairuddin Omar, masih menjalani penggantungan.

Utusan Malaysia (17 April 2010)

Cerita Bola; NS janji tentangan sengit

SEREMBAN - Setelah dinobat juara Piala FA, Negeri Sembilan mendapat 'nafas baru' apabila melaungkan kesediaan mereka untuk menggempur mana- mana pasukan dalam saingan Liga Super.

Skuad Rusa, di tangga keempat liga, percaya mereka masih berpeluang untuk bergelar juara Liga Super, jika mampu mengekalkan momentum kemenangan.

Lantaran itu, skuad kendalian, Wan Jamak Wan Hassan menjanjikan laluan sukar buat pasukan Kelantan, pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini hari ini.

Menurut Wan Jamak, kejayaan menjulang Piala FA, sabtu lalu, meningkatkan keyakinan pemain untuk meneruskan saingan Liga Super.

''Mencari tiga mata dalam setiap perlawanan membantu kami untuk membaiki kedudukan.

''Saya sudah menasihati agar pemain dapat memberikan yang terbaik sekali gus memperoleh tiga mata dalam perlawanan malam esok," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jelasnya, pertembungan dengan Kelantan pasti sengit.

Namun, katanya kelebihan bermain di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Namun, Wan Jamak mengingatkan pemain agar tidak terlalu yakin dan leka apabila menentang Red Warriors.

''Saya harap pemain agar tidak dibuai mimpi dengan kejayaan Piala FA," tegasnya.

Mengenai persiapan untuk perlawanan hari ini, Wan Jamak memberitahu, pasukannya menjalani latihan seperti biasa dan akan menurunkan kesebelasan utama.

''Pemain telah bersiap sedia dan saya akan menurunkan kesebelasan utama.

''Cuma pemain tengah iaitu Idris Karim digantung satu perlawanan dan dia akan diganti oleh Halim Zainal,'' jelasnya.

Cerita Bola; Kelantan sedar kekuatan NS



SATHIANATHAN (kanan) memantau kecergasan pemain-pemain Kelantan menjelang aksi bertemu Negeri
Sembilan pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.



IBARAT ulangan pentas akhir Piala Malaysia.

Itu yang disifatkan oleh jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika diminta mengulas mengenai pertembungan dengan Negeri Sembilan di Paroi malam ini.

Menurutnya, Kelantan akan lebih berhati-hati ketika bertandang ke gelanggang lawan kerana pasukan lawan masih segar dengan kejayaan menjulang gelaran Piala FA.

"Saya mengaku pertemuan dengan Negeri Sembilan bukan satu tugas yang mudah dan ia suatu ujian yang getir kepada pemain- pemain saya.

"Ini mungkin mirip perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2009 tetapi saya tidak mahu keputusannya sama seperti perlawanan tersebut," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, Kelantan menghormati pasukan Negeri Sembilan yang mempunyai barisan pemain mantap dan berpengalaman.

Bagaimanapun, beliau optimis dengan peluang yang dimiliki Kelantan walaupun rekod Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tidak begitu memihak kepada mereka.

"Tiga minggu kita (Kelantan) tidak menghadapi sebarang pertandingan kompetitif berbanding mereka (Negeri Sembilan).

"Situasi ini mungkin memberi kelebihan kepada mereka tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita sama-sama lihat dan tunggu keputusannya," ujarnya.

Jelasnya, rata-rata pemainnya sudah bersedia dan memahami tugas yang perlu dijalankan dengan misi untuk membawa pulang mata penuh ke Kota Bharu.

"Kita menghormati Negeri Sembilan tetapi saya telah berpesan kepada para pemain supaya jangan terlalu merendah diri dan takut kerana kita juga miliki kelebihan.

"Kelantan tidak mahu lagi kehilangan mata dan baki perlawa- nan yang ada akan kami manfaat- kan. Perjalanan masih jauh dan kita sama-sama tengok apa yang kami mampu lakukan," tambahnya.

Perlawanan malam ini menyaksikan Kelantan tidak dapat menurunkan pertahanan kiri mereka, Zairul Fitree Ishak yang mengalami sakit mata, sementara Hairuddin Omar masih digantung perlawanan akibat menerima kad merah ketika menentang T-Team, Februari lalu.

Jumaat, April 16, 2010

Sahabat

Dalam dunia ni kita tidak boleh hidup sendirian. Kita ada keluarga, masyarakat dan macam-macam lagilah. Selain hidup bahagia bersama keluarga,kita juga bahagia hidup bersahabat. Dan hari ini kerana mengenangkan hidup bersahabat ini, aku mencari-cari sahabat yang telah lama aku tidak hubungi. Ini semua sahabat lama (tidaklah lama sangat, adalah lebih kurang setahun lebih).

Pencarian aku melalui laman sosial internet; hasilnya terjumpalah beberapa orang. Dan perasaan aku bercampur baur mengenai berita-berita semasa mengenai sahabat aku ini. Gembira, sayu, sedih dan pelbgai perasaan lagi. Dan rata-ratanya telah pun berada pada kedudukan yang agak selesa dengan kerjaya dan bidang masing-masing.

Ada yang telah berkeluarga, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan ada juga yang telah pun hidup sebagai orang yang bekerjaya; ada yang jadi guru, ada yang berada di bahagian pentadbiran dan macam-macam lagilah. Inilah yang dikatakan rezeki Allah untuk hamba-Nya.

Melihat perkembangan terkini sahabat-sahabat, terdetik di hati aku mengenai "pencapaian" aku yang terkini, terkebelakang dan mungkin terkehadapan. Tapi itu semua seolah-olah tidak membawa apa-apa makna. Tetapi, aku percaya Allah akan sentiasa membuat percaturan kepada setiap hamba-Nya di muka bumi ini.

Dan untuk semua sahabat; tidak kira sahabat lama dan baru, sahabat lama yang tidak berhubung dan yang sentiasa berhubung, ketahuilah olehmu  sahabat, aku sentiasa berdoa kepada Ilahi agar kita semua beroleh kejayaan yang cemerlang sentiasa. Kejayaan yang diredhai, diberkati dan direstui oleh-Nya.

7 Januari
Penghujung 2009 

Selasa, April 13, 2010

Cerita Bola: Sejenak Sekitar Piala FA

Piala FA 2010 menjadi milik Negeri Sembilan setelah menewaskan Kedah menerusi penentuan penalti. Penentuan ini menyaksikan Kedah tewas 4-5. Apa yang menarik perhatian aku adalah mengenai sekitar perjalan Piala FA yang berlangsung sejak awal musim sampailah penghujungnya.

Kelantan dan Selangor diberi "bye" kerana kedua-dua pasukan ini adalah finalis pada tahun 2009. Perjalanan Kelantan akhirnya tersekat pada pusingan kedua setelah tewas di tangan Kedah. Selangor agak bernasib kerana berjaya ke separuh akhir sebelum tewas kepada Negeri Sembilan menerusi "kemahiran tangan" Shukor Adan.

Pada musim ini Kelantan dilihat sebagai pasukan pilihan kerana terdapat beberapa pemain yang dianggap bintang. Itu anggapan orang. Namun hakikatnya bintang-bintang ini tidak menyerlah. Penonton ada kalanya sudah mula muak dengan pemain-pemain dan juga pengurusan. Walaupun begitu sokongan di Stadium Sultan Muhammad iv tidak pernah menghampakan pihak pengurusan. Musim ini juga menyaksikan bagaimana pengurusan mensasarkan beberapa piala untuk dibawa pulang ke Kelantan. Namun impian ini hanya tinggal angan-angan setelah Piala FA telah terbang ke Negeri Sembilan.

Pada peringkat awal Negeri Sembilan dikatakan bukanlah pilihan utama, tetapi setelah mengharungi beberapa perlawanan akhirnya mereka berjaya. Di separuh akhir kedua ketika menerima kunjungan Selangor Negeri Sembilan sepatutnya bersyukur kerana Shukor Adan dengan tidak sengaja menanpan bola dengan tangan di pintu gol Negeri. Dan Negeri juga patut berterima kasih kepada pengadil dan penjaga garisan kerana kedua-keduanya "membenarkan" tindakan Shukor itu.

Kedah pula pasukan yang dianggap ungderdog pada musim ini, tetapi meraka nampaknya berjaya membuktikan dan mengembirakan penyokongnya pada musim ini. Peminat-peminat Kedah sudah pasti tersenyum puas apabila pasukan mereka layak ke Bukit Jalil pada 10 April lalu.

Walaupun Kelantan tersingkir sebelum suku akhir lagi tetapi pasukan Kelantan terus diperkata dan disebut-sebut sehingga ke perlawanan akhir. Namun isu utamanya adalah mengenai gelagat penonton.

11 April 2010 aku sempat menonton Info Sukan TV1, pukul 1:30 p.m. Laporan itu menyebut perlawanan final masih lagi dicemari dengan sikap penonton yang tidak disenangi; ada balingan mercun, botol air bertaburan di tepi padang, dan juga serpihan kerusi penonton. Ini bermakna masih ada lagi penonton yang tidak bertamadun berada di dalam stadium. Malamnya pula di Buletin Utama TV3, laporan mengatakan tiada kejadian tidak diingini berlaku di stadium. Apa cerita??? Satu cerita, dua laporan, tetapi berbeza. TV1 kata ada, TV3 kata tiada.

Sebelum berakhir aku ingin perkatakan mengenai Piala Shahidan Kasim. Piala apa tu? Piala perlawanan bola sepak Menteri Besar Perlis. Dan pasukan yang berentap adalah Kelantan dan Perlis. Bagaimana perjalanan perlawanan ini aku tidak tahu, apa yang pasti Kelantan berjaya menewaskan Perlis 2-1.

Apa yang pelik mengenai Piala Shaidan ini adalah mengapa ia dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad iv? Kalau namanya pun Shahidan sudah pasti ia patut dilangsungkan di Stadium Utama Kangar, Perlis. Apa-apa pun pada fikiran aku ia adalah untuk menarik perhatian penonton. Jika dilaksanakan di Perlis, mungkin penontonnya tidak seramai di Kelantan.

17 April ini Liga Super akan bermula. Kalaulah Kelantan tidak berjaya membawa apa-apa mata sewaktu di Parol nanti, mungkin ini satu penanda kemerosotan Kelantan. Dan tidak hairanlah jika stdium keramat Kelantan akan menjadi stadium berhantu kerana banyak ruang yang kosong.

Jumaat, April 09, 2010

Senario Politik Tanah Air..

Untuk sekian kalinya kita dikejutkan, ditonjolkan dan dijelmakan mengenai watak dan perwatakan wakil rakyat yang kononnya mewakili rakyat. Baru-baru ini pendedahan terbaru mengenai perwatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh bekas orang kuat PKR, Datuk Zahrin.

Apa yang menarik perhatian aku adalah mengenai dakwaan Datuk Zahrin mengenai rancangan 16 September. Aku tidak berminat untuk membuat ulasan mengenai pendedahan itu kerana aku yakin ramai yang telah mengetahuinya. Apa yang bermain di fikiran aku adakah dakwaan itu betul atau tidak..? Jika betul apa yang didedahkan itu sudah pasti ia amat memalukan dan menjatuhkan maruah Anwar. Dan ini juga mungkin akan mengundang persepsi betapa kotornya taktik politik Ketua Pembangkang itu. Namun, jika dakwaan itu tidak benar, alangkah ruginya orang yang mendakwa dan mendedahkan hal itu. Sudah pasti ia akan mengundang musibbah. Apa-apa pun semoga kita diberi pilihan yang tepat oleh Allah untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk.

Senario yang terbaru pula adalah mengenai dakwaan Anwar bahawa 1Malaysia yang diilhamkan oleh Dato' Seri Najib adalah ada kaitan dengan 1Israel!!. Sebagai rakyat Malaysia aku rasakan itu adalah keterlaluan, jika konsep 1Malaysia itu ditiru dari Israel. Dan aku juga akan rasa kesal jika dakwaan itu adalah taktik dan helah Anwar untuk menjatuhkah Najib.

Berita terkini di Hulu Selangor pula adalah mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung tidak lama lagi. PRK terpaksa dibuat ekoran penyandangnya dari PKR meninggal dunia. Persoalan sekarang, apa yang akan didedahkan oleh lawan masing-masing dalam perebutan kerusi parlimen ini. Sudah pasti ada pendedahan, info dan bermacam lagi janji manis akan dilontarkan oleh parti masing-masing. Apa-apa pun semoga rakyat Hulu Selangor bijak dalam memilih wakil mereka di Parlimen. 

Walaupun apapun senario yang berlaku di dalam Malaysia, aku tetap anak Malaysia. Oleh itu aku akan terus menyokong siapa yang benar dan tulus dalam mewakili rakyat; tidak kiralah mereka ini dari parti kerajaan pusat mahupun pembangkang.

Menjejak salasilah manusia

AMMAR JAZLAN MAD LELA




ISU berhubung sejarah kewujudan manusia pertama di bumi antara persoalan yang sering diperdebatkan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Meskipun kajian berhubung sejarah kewujudan manusia bukan satu perkara baru, jawapan terhadap persoalan itu telah dimulakan oleh para saintis dan pakar arkeologi sejak awal abad ke-18.

Secara umum, hanya manusia (Homo Sapien) dan manusia Neanderthal yang mendiami bumi dan dianggap majoriti. Golongan Neanderthal dipercayai pupus secara misteri tanpa diketahui sebabnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini dunia sains dikejutkan dengan penemuan tulang manusia purba yang dikatakan sebagai saudara terbaru kepada susur galur manusia. Penemuan itu mungkin mengakibatkan sejarah kewujudan manusia terpaksa dikaji semula.

Tulang yang ditemui itu dipercayai kanak-kanak ditemui di Gua Denisova di kawasan pergunungan Altai, selatan Siberia dianggarkan berusia 40,000 tahun.
Kajian mengenai penemuan itu disiarkan dalam jurnal mingguan, Nature yang dilaporkan oleh Johannes Krause dan Svante Paabo dari Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology di Leipzig, Jerman.

Dalam kajian itu, mereka menerangkan pemetaan asid deoksiribonukleik (DNA) yang terhasil daripada tulang tersebut menunjukkan 400 perbezaan genetik daripada 54 orang manusia dan enam fosil spesies Neanderthal.

Analisis yang menunjukkan spesies purba itu berkongsi keturunan yang sama dengan Homo Sapien dan Neanderthal kira-kira sejuta tahun lalu. Mereka mencadangkan, terdapat penghijrahan lain sebelum itu di luar Afrika yang gagal dikenal pasti.

Kertas kerja medekodkan rangkuman set DNA yang diambil daripada mitokondria yang bertindak sebagai janakuasa sel. Namun kajian itu berbeza berbanding proses DNA biasa yang mengambil nukleus untuk membezakan manusia.


PENEMUAN pelbagai rangka manusia purba di seluruh dunia memberi peluang pengkaji membongkar misteri susur galur manusia.



Paabo berkata, penyelidik sedang mendekod nuklear DNA daripada spesies berkenaan bagi mencari jawapan sama ada ia diletakkan di bawah kategori Homo Sapien, Neanderthal atau bakal menjadi salasilah baru sejarah kewujudan manusia.

Masih kabur

Tanpa melalui ujian analisis nuklear DNA mereka menjelaskan: "Kami tak menyatakan ia adalah spesies baru walaupun membayangkan ia sesuatu yang tidak mustahil."

Pakar arkeologi, Prof Madya Dr. Asyaari Muhamad berkata, penemuan rangka itu membuktikan kewujudan spesies lain yang mempunyai bentuk dan ciri-ciri fizikal yang hampir sama dengan manusia moden pada hari ini.

"Ia merupakan satu penemuan yang besar dalam bidang arkeologi dan mampu mencetuskan fenomena baru kepada para pengkaji meneruskan kajian mereka.

"Walaupun dianggap sebagai spesies baru, namun maklumat mengenainya masih kabur, malah banyak lagi kajian dan ujian perlu dilakukan bagi membuktikan dakwaan itu. Sehingga kini, pengkajinya sendiri masih belum berani mengisytiharkan penemuan rangka itu adalah manusia atau sebaliknya," katanya yang merupakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Asyaari menjelaskan, penemuan artifak dan rangka manusia purba bukan satu perkara baru sejak kajian mengenainya dilakukan oleh para pengkaji di seluruh dunia sejak penghujung abad ke-18.

Ujarnya, beberapa rangka manusia purba juga pernah dijumpai sebelum ini yang memberi bukti susur galur dan penemuan manusia terawal.

Di Malaysia, antara tapak arkeologi yang berjaya dibongkar oleh para pengkaji tempatan setakat ini ialah di Bukit Tengkorak, Sabah; Gua Niah, Sarawak; Bukit Bunuh, Lenggong, Perak dan di Gua Bewah, Terengganu.








KAJIAN mengenai artifak dan rangka manusia telah dimulakan sejak penghujung abad ke-18.






Penemuan-penemuan itu katanya, bukan sahaja memberi bukti terhadap kehidupan manusia malah turut memberi peluang kepada penyelidik mengkaji sosiobudaya masyarakat ketika itu.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai bukti dan teori penyelidik Barat, namun sebagai umat Islam mereka wajib mempercayai manusia pertama di bumi ini ialah Nabi Adam A.S.

"Apa yang didakwa sebagai manusia berkemungkinan hanya menyerupai secara fizikal sahaja tetapi sebenarnya bukan manusia. Pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan kewujudan spesies-spesies lain yang mungkin hidup bersama manusia ketika itu," katanya.

Saintis Barat berpendapat, kemunculan manusia bermula dari timur Afrika. Manusia pertama yang berhijrah dari sana adalah Homo Erectus kira-kira dua juta tahun lalu.

Penemuan fosil pertama Homo Erectus dibuat pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 di beberapa bahagian Indonesia dan China. Fosil-fosil spesies manusia itu turut ditemui di benua Afrika.

Dua contoh penemuan fosil Homo Erectus yang terkenal di Asia adalah Java Man yang ditemui oleh penyelidik Belanda, Eugene Dubois di Trinil, Pulau Jawa pada tahun 1891 dan di antara tahun 1923 hingga tahun 1927 di Zhoukoudian, China yang dipanggil Peking Man.

Penghijrahan beramai-ramai berlaku dalam dua gelombang. Pertama, ia melibatkan golongan Homo Rhodesiensis yang berhijrah sejak 300,000 hingga 500,000 tahun lalu. Golongan itu juga dikatakan sebagai keturunan asal kepada manusia Neanderthal.

Penghijrahan kedua pula berlaku kira-kira 50,000 tahun lalu membabitkan golongan yang menjadi keturunan manusia sekarang yang dikenali sebagai Homo Sapien.

Penemuan pelbagai fosil daripada sumber haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia zaman purba di beberapa buah lokasi di seluruh dunia telah dijadikan asas oleh penyelidik Barat untuk merungkai misteri tersebut.

Mereka telah mengilhamkan Teori Evolusi iaitu perubahan yang berlaku secara perlahan-lahan bahawa kewujudan manusia asalnya bukan seperti manusia pada hari ini.

Perdebatan spesies manusia

Teori itu kemudiannya dikembangkan oleh Charles Darwin menerusi bukunya, The Origin of Species. Beliau menyatakan semua jenis haiwan berasal daripada satu sel purba. Seterusnya beliau menulis buku The Descent of Man dan mendakwa manusia berasal daripada perubahan spesies haiwan yang paling maju, iaitu monyet.

Menurut Darwin, melalui evolusi sebagai manusia purba peradaban manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus di alam haiwan dan terikut-ikut cara hidup sebelum itu.

Bagaimanapun Islam mempunyai pandangan yang berbeza. Keturunan manusia bermula daripada Nabi Adam A.S. dan bukannya melalui proses evolusi makhluk-makhluk lain.

Adam dicipta daripada tanah liat seperti firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 yang bermaksud: "Kami menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya."


GUA Niah di Sarawak pernah diduduki manusia purba kira-kira 40,000 tahun lalu.



Penciptaan Adam adalah sempurna dan menjadi bapa kepada seluruh manusia dari mula hingga hari kiamat. Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan serta menimba ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan spesies manusia di Siberia itu membuktikan masih banyak spesies manusia yang belum diketahui.

Beliau mendedahkan, persepsi berhubung kewujudan manusia pernah menjadi perdebatan apabila para pengkaji menemui fosil saiz otak sebesar buah anggur di Liang Bua, Kepulauan Flores, Indonesia.

Kajian yang dilakukan oleh Profesor R. P. Soeyono dari Pusat Penelitian Arkeologi Indonesia pada tahun 2003 itu menemui spesies manusia hobit yang mempunyai ketinggian kurang daripada satu meter dan berusia sekitar 18,000 tahun.

"Pada satu seminar yang mengumpulkan ramai saintis dan pakar arkeologi kira-kira dua tahun lalu mengesahkan ia adalah manusia. Resolusi akhir pada seminar itu menyimpulkan berlakunya kecacatan terhadap spesies berkenaan yang menyumbang kepada perbezaan ciri fizikalnya," katanya.

Beliau berpendapat, dari sudut saintifik sekiranya analisis terhadap penemuan rangka di Siberia itu tepat, para pengkaji memerlukan lebih banyak data untuk mengisi, memperbaiki dan memecahkan kumpulan-kumpulan manusia.

"Jika analisis DNA berkenaan adalah spesies yang betul, saintis perlu melakukan lebih banyak kajian untuk mengetahui kewujudan manusia pada hari ini," ujarnya.

Kosmo! 9 April 2010

Memulihkan artifak laut mati

Pasangan berzina ditelanjangkan di Aceh

BANDA ACEH - Satu pasangan Indonesia yang ditangkap kerana melakukan persetubuhan di luar nikah diarak dalam keadaan berbogel di sebuah kampung sebelum dibelasah penduduk yang marah dan kini berdepan dihukum rotan, kata seorang pegawai pemerintah semalam.

Pasangan itu yang dikenali sebagai Bus, guru berusia 36 tahun dan pasangannya, Yus, 28, seorang suri rumah ditangkap kelmarin kerana didapati berzina di Aceh yang melaksanakan hukum Syariah.

"Penduduk kampung menyerbu rumah wanita tersebut dan mendapati pasangan itu tinggal bersama sebelum membawa mereka keluar sebelum diarak dalam keadaan bogel," kata seorang pegawai polis syariah daerah Aceh Barat, Teuku Abdurrazak.

Pasangan tersebut kemudian diikat di sebuah pondok pengawal dan penduduk yang amat marah kemudian bertindak memukul kedua-dua mereka itu dengan batang kayu dan tangan sehingga hampir nazak.

Teuku Abdurrazak berkata, jika pihak polis lambat tiba, pasangan tersebut kemungkinan akan mati dan bakal dirotan sebanyak sembilan kali. - AFP

Kosmo! 9 April 2010

Replika masjid dijadikan sasaran menembak


GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar Daily Mail semalam menunjukkan replika masjid yang digunakan di sebuah padang sasar di Yorkshire Utara, Britain.


BELLERBY - Beberapa kumpulan Islam mendakwa tentera Britain menjadikan replika tujuh masjid di sebuah padang sasar di Yorkshire Utara sebagai sasaran latihan menembak, lapor sebuah akhbar semalam.
Semua replika itu termasuk masjid terbesar di Afghanistan, Mazar-e-Sharif dapat dilihat dari jalan raya berhampiran lokasi berkenaan.

Mengulas mengenai kontroversi itu, Majlis Masjid Bradford (BMC) menyatakan, masjid-masjid itu dijadikan 'simbol bahaya' bagi mengukuhkan tanggapan negatif mengaitkan Islam dengan keganasan.

"Kami berharap tentera Britain segera mengalihkan struktur berkenaan dan mengakui kesilapan mereka," kata wakil BMC, Ishtiaq Ahmed.

"Kami melawat lokasi itu pada Selasa lepas setelah menerima aduan orang ramai," tambahnya.

Ekoran pendedahan berita itu, agensi berita AP melaporkan, pihak tentera Britain kemudian memohon maaf kerana mengaibkabn kumpulan Islam tersebut dengan menjadikan masjid sebagai sasaran tembakan. - Agensi 

Kosmo! 9 April 2010

Bahana kencing tikus

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan


BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak
“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.

DR. INTAN


Rumput
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi
Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.

SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan


“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.

Kosmo! 9 April 2010