Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, November 30, 2010

Cerita bola: Apabila presiden bersuara

Dijangkakan 15 Januari depan Liga Super akan dimulakan serentak semua pasukan. Selangor akan menerima kunjungan Kelantan untuk merebut Piala Sumbangsih di Shah Alam. Kini setiap pasukan telah bersiap sedia dengan perancangan masing-masing untuk terus cemerlang pada musim akan datang. Dalam skuad Kelantan pula ada cerita yang tersendiri. Bagaikan dunia artis, Kelantan juga tidak lepas daripada gosip. Perpindahan pemain dan kenaikan gaji antara yang mengisi cerita Juara Piala Malaysia 2010.

Pintu pendaftaran pemain bakal ditutup, dan KAFA belum lagi mahu mengumumkan siapa yang bakal menyarung jersi Kelantan. Walaupun telah kedengaran senarai pemain yang bakal bersama Kelantan, namun ini belum lagi muktamad. Apa yang pasti B.Sathianathan sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudi barisan kejurulatihan.

Di sebalik itu juga, melalui laman portal dan berita, Presiden KAFA telah bersuara mengenai sikap pemain-pemain. Kononnya bagaikan bintang yang menyinar, ada pemain-pemain yang mula demand. Ini menyebabkan presiden bersuara. Memetik berita dari Kosmo! Online Tan Sri Annuar Musa bersuara:
Ada yang lupa diri
SEBAHAGIAN daripada pemain skuad Kelantan yang memulakan latihan di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu semalam.
“PEMAIN yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka adalah ‘nobody’ (tidak dikenali). “KAFA ambil mereka waktu mereka digugurkan, waktu mereka tak dibayar gaji, team (pasukan) mereka bubar. Ada yang terpaksa merantau kerana gaji murah.
“KAFA dan penyokong beri mereka gaji dan bonus, beri latihan yang baik, beri pendedahan dalam dan luar negara, beri publisiti dan beri teamwork yang terbaik. Akhirnya mereka lupa siapa yang jadikan mereka bintang.”
Demikian luahan kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) yang dipetik daripada laman sosial Facebook setelah beberapa pemain bintangnya dikhabarkan gagal menghadiri sesi latihan pertama yang bermula kelmarin.
Beliau nyata kecewa dengan sikap sesetengah pemain yang gagal melaporkan diri pada sesi latihan pramusim tersebut walaupun hakikatnya mereka dan pemain lain dikira secara automatik telah mengikat kontrak bersama Kelantan untuk tempoh dua musim melalui surat tawaran bertarikh 1 September lalu kerana tiada seorang pun yang menolaknya.
“Terdapat pemain yang ghairah untuk mendapatkan gaji yang tinggi, membuat rundingan di saat-saat akhir pendaftaran, sedangkan peraturan telah menetapkan mereka berbuat demikian dua bulan sebelumnya.
“Saya tak dapat layan pemain secara individu terutama yang minta gaji tinggi. Saya perlu adil kepada semua. Kalau ada negeri nak tawar gaji tinggi, itu hak mereka dan pemain pilihlah sendiri tapi mesti ikut peraturan. Pemain wajib tebus kontrak, negeri wajib berunding dan bayar yuran perpindahan. Pelaburan KAFA bukan sedikit,” katanya.
Tambah Annuar, kelab juga seharusnya membuat tawaran kontrak tiga bulan sebelum tempohnya tamat. Tindakan-tindakan ini mungkin akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada kelab asal yang kehilangan pemain pada saat-saat akhir.
Jelasnya, kesan yang buruk juga mungkin akan diterima oleh pemain yang mana status mereka boleh dipertikaikan dan mungkin juga menjadi kes di mahkamah sivil kerana melanggar kontrak.
“Mereka semua (pemain) dinasihatkan merujuk kepada peraturan dengan menghubungi sekretariat di FAM sekiranya terdapat keraguan.
“Pemain dan pasukan yang menyertai Liga Malaysia terutama dalam Liga Super patut berusaha untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme masing-masing sesuai dengan penyertaan dalam liga profesional,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Annuar, akhir-akhir ini didapati banyak pemain dan juga kelab yang langsung tidak memahami peraturan-peraturan asas berhubung dengan etika sebagai pemain ataupun tanggungjawab pengurusan kelab.
Sementara itu, Kosmo! difahamkan, ada desas-desus mengatakan kegagalan pemain terbabit menyertai latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sejak kelmarin ekoran rasa tidak puas hati mengenai beberapa perkara.
Antaranya kerana ada pemain yang kini sedang menimbang tawaran daripada pasukan lain yang lebih lumayan sedangkan mereka telah pun sah milik Kelantan melalui surat tawaran yang diberikan sebelum ini.
Selain itu, KAFA juga enggan melayan permintaan beberapa pemain yang mahu gaji mereka dinaikkan lagi walaupun sebahagian pemain bintang menerima gaji yang cukup lumayan sebelum ini.
Kosmo! yang mengikuti sesi latihan pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV mendapati, semua pemain sudah memulakan latihan kecuali tiga pemain bintang termasuk Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan termasuk S. Chanturu yang mengalami kecederaan.
Sedarlah wahai pemain, "kebintangan" anda tidak ke mana. Lupa diri kerana menganggap diri mula berharga. Apa yang pasti Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik Malaysia 2010, serta Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai Malaysia 2010 masih lagi ingin bersama Kelantan. Begitu juga dengan Jurulatih Terbaik 2010. Mereka yang terbaik ini diharapkan dapat terus berbakti kepada Kelantan pada musim akan datang.

Di kem skuad Malaysia pula, seluruh peminat bola sepak mengharapkan anak buah K.Rajagobal akan membawa khabar gembira dari Indonesia. Piala AFF menadi buruan terakhir untuk tahun 2010. Setelah menunjukkan persembahan terbaik di Guangzhou, China, kini tibanya skuad kita tampil cemerlang di Indonesia.


*Sebelum ini Piala Sumbangsih di antara Juara Piala Malaysia vs Juara Piala FA. Dan jika ini masih diguna pakai Piala Sumbangsih akan menemukan Kelantan dan NS. Tapi kali ini (2011), Juara Piala Malaysia vs Juara Liga Super. Ini bermakna Kelantan akan berebut dengan Selangor Piala Sumbangsih musim depan. Adakah wujud agenda tersembunyi...??
____________________________________________
Ini..
Tunjuk peningkatan - Rajagobal -> Jangan layan provokasi -> Tak gentar Indonesia guna pemain import

Akmal Rizal sertai Perak untuk bersama Cikgu Jan & Perak giat buru 2 pemain bertaraf bintang
Skuad NS buat rombakan besar & Pemain ATM diberi kata dua

Isnin, November 29, 2010

Dominasi pasukan Selangor

PASUKAN wanita dan lelaki Selangor muncul juara pada Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 di Kompleks Sukan Negara Matsushita, Shah Alam semalam.



SELANGOR mendominasi pentas akhir Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 apabila muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Matsushita , Shah Alam semalam.
Dalam aksi final kategori lelaki, Selangor dan Johor FC dilihat memberi saingan yang cukup sengit selain kedua-dua pasukan tampil bertenaga mengawasi gawang masing-masing.
Berakhir dengan keputusan seri 0-0 di akhir perlawanan, Johor FC bagaimanapun terpaksa menerima kekalahan apabila perlawanan yang diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada Selangor.
Kemenangan Selangor sekali gus memadamkan rekod pasukan KL Figos FC yang berjaya mempertahankan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut selepas membenam cabaran Selangor pada tahun 2008 dan Terengganu T-Team pada tahun lalu.
Dalam pada itu, kapten pasukan Selangor, Mohd. Farid Mohd, Yusof ketika ditemui memberitahu, pasukannya terus bertahan walaupun menerima asakan yang hebat dari Johor FC.
"Perlawanan tadi (semalam) sangat sengit. Kami seboleh-bolehnya cuba untuk bertahan dalam perlawanan dengan sebaik mungkin," katanya.
Kejayaan itu membolehkan Selangor menggondol hadiah wang tunai RM40,000 bersama medal dan piala pusingan sementara Johor FC pula meraih RM20,000 selaku naib juara.
Terdahulu menerusi saingan wanita, pasukan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan selepas sekali lagi tampil membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir.
Pada edisi tahun lalu, PDRM turut tewas kepada Selangor yang merekodkan kemenangan 3-1.
Kapten Selangor, Shahila Mohd. Yunus memberitahu, cabaran yang mereka hadapi tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lalu.
"Kami berdepan dengan cabaran yang lebih sukar, namun dengan beberapa taktik yang kami rancang, ia berhasil untuk mengatasi pasukan PDRM. Semua pemain turut mempamerkan aksi yang bagus," katanya.
Selaku juara, Selangor membawa pulang medal, piala pusingan dan hadiah wang tunai sebanyak RM40,000, manakala PDRM menerima medal dan wang tunai bernilai RM20,000.
Semua hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Turut hadir ialah Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd. Wahab, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi JKF dan BSP FAM, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.
Penganjuran kejohanan futsal oleh Felda/ FAM merupakan kali keempat sejak tahun 2007.

Sabtu, November 27, 2010

Bila emak tak sihat

Jumaat, 26 Nov.: Sebelah pagi; emak seperti biasa dengan rutin hariannya menyediakan sarapan, berkebun dan sedikit sebanyak menyapu laman. Pagi ini kami sekeluarga bersarapan nasi lemak berlauk sambal ikan bilis bercampur petai. Awal petang, lepas solat Jumaat, emak terbaring di ruang tamu. Katanya demam sikit. Demam emak berlanjutan sehingga ke Isyak.

27 Nov, lebih kurang jam 0100, emak beransur sihat. Alhamdulillah. Nampaknya dah boleh bangun daripada tidurnya.

Selalunya demam emak tidak lama. Dalam dua hingga tiga hari kebahlah. Kencing manis dan darah tinggi mula menyerang sekian lama (akupun tak pasti sejak bila). Bertemankan ubat moden dan juga tradisional, emak masih gagah berbakti pada kami. Biasanya penghidap diabetis dan darah tinggi akan "didampingi" dengan penyakit buah pinggang. Tapi setakat ini penyakit "buah" tu belum memberi tanda-tanda akan turut bersama dengan darah tinggi dan diabetis. Alhamdulillah. Tapi jika penyakit buah pinggang "turut serta mendiami" tubuh emak, "mereka" akan melengkapkan penyakit "tiga beradik" mengikut gurauan orang-orang kampung.

Ketika kecil, bila anak-anak emak sakit, emak dan ayah akan turut "merasai" sakit. Anak tak boleh lelap, emak dan ayah juga tak boleh lelap. Bayangkan kami 13 beradik, bagaimana agaknya emak menjaga kami ketika sakit. Bagaimana agaknya emak turut merasai demam yang kami alami.

Minggu lalu hari lalu kaki emak terpijak paku. Alhamdulillah, tak teruk sangat. Kami bersyukur dalam usia 57 tahun (ayah 60 tahun), emak masih bertenaga. Dan walaupun kaki sedikit sakit, emak masih dengan rutinnya. Kesan luka kecil di kaki telah mengering, tapi emak terasa gatal-gatal. Dikupasnya perlahan-lahan untuk hilangkan gatal. Kami melarang. Pesakit diabetis berisiko bahaya jika mengalami luka walaupun kecil. Kami mula terkenang arwah datuk(sebelah emak), juga penghidap diabetis. Kakinya yang terpijak duri tidak sembuh-sembuh sehingga akhir hayatnya. Kami bimbang.

Dua tiga tahun yang lalu, aku di Borneo. Selama tiga tahun lebih berkelana di tempat orang. Bila mengetahui emak (dan ahli keluarga yang lain) sakit, aku mula gelisah. Berdebar-debar. Walaupun aku tahu demam emak selalunya tidaklah lama, tapi ini tetap mengusik jiwa. Bila emak sakit, ingatan akan terarah juga kepada ayah. Ayah disyaki ada penyakit paru-paru berair. Ini hanya disyaki, belum lagi dibuktikan dengan sahih. Harap-harap paru-paru ayah akan "mengering", tidak lagi berair. Alhamdulillah, kini aku di sisi.

Mudah-mudahan kali ini emak akan sentiasa seperti dulu, malah Insya-Allah akan lebih sihat.
__________________________________________
*Arwah datuk terpijak duri sekitar rumahnya. Kaki membengkak dan bernanah. Diabetis yang dihidapinya menyebabkan luka sukar sembuh. Setiap kali doktor membersihkan lukanya, datuk akan berteriak. Sakitnya hanya Allah yang tahu. "Menetap" di dua buah hospital (Tanah Merah, Kelantan; dan Hospital Raja Perempuan Zainab II) ketika deritanya. Dalam usia 85 tahun arwah bertarung dengan derita. Akhirnya, 10 Mac 2010, Rabu, jam 2145, Allah menjemputnya di rumahnya, Tanah Merah.


Kuasa Allah adalah segala-galanya; ketika kakinya dicuci (oleh abang-abang dan sepupu aku) buat kali terakhir (lebih kurang 1-2 jam sebelum menghembuskan nafas), tiada ucapan sakit terkeluar daripada mulutnya. Masalah pendengarannya sebelum ini seakan hilang, apabila datuk dapat mendengar walapun dengan suara yang perlahan. Dengan nafasnya sedikit ditarik dan dilepaskan, akhirnya datuk kembali kepada-Nya. Sedikit peluh dingin membasahi dahi datuk. Sedikit linangan air mata merembes di pipinya ketika Mailaikat Maut menjalankan tugas yang diperintah-Nya.

Kakinya yang terpijak duri lebih kurang satu - dua bulan sebelum hembusan nafas terakhir. Kecederaan kaki dan diabetis hanya sebagai asbab. Dengan usianya yang semakin bernilai emas, sudah tiba masanya datuk dipanggil berehat di sisi Pencipta yang Esa.


Arwah disemadi berdekatan dengan arwah nenek, anak, dan menantunya. Arwah nenek meninggal pada tahun 2006, ketika aku masih di Borneo.

Insya-Allah, mudah-mudahan datuk (Zakaria bin Ismail), nenek (Che Moh), makcik dan pakcik ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang terpilih; begitu juga dengan muslimin muslimat yang lain, yang telah kembali mengadap-nya. Al-Fatihah...
__________________________________________
Update
Pagi ini emak dihantar ke klinik. Tengah hari baru pulang. Alhamdulillah, dah makin gagah sikit berbanding semalam. Tapi masih lagi keletihan.


28 Nov.'10: Alhamdulillah. Emak semakin sihat. Dan dah boleh tersenyum dan makan. Dan bercakap, dan bersembang... dan dan dan lagi..

Rabu, November 24, 2010

CELCOM tipu aku?

Kali ini tiada apa yang penting sangat, cuma satu cerita mengenai CELCOM.

Isnin, 22 Nov. '10: Pada pukul 0951, aku terima satu sms diterima dari CELCOM: 
Bonus Setia: T.Kasih atas kesetiaan anda. Raikan setiap 6 bulan bersama Celcom blue. Dptkan Kredit PERCUMA dgn tmbh nilai min RM10 pd 22/11/10 atau keesokan hari.
Selasa, 23 Nov. '10: Aku tambah nilai top up sebanyak RM10.00. Dan dengan "sukacitanya" aku terima satu sms dari CELCOM:
Bal RM11.16 valid 30/11/2010 wait for your Reload & WOW! Bonus after reload min RM20 this week.
Apa mesej sebenarnya yang cuba ditonjolkan oleh CELCOM? Mungkin inilah yang dikatakan "tertakluk kepada terma dan syarat"..

Tapi akupun taklah kemaruk sangat nak bonus tu. Tapi kalau dapat ok juga. Hahaha.. Dua tiga tahun lalu pula aku terima bonus tak rasmi dari CELCOM; dua tiga kali CELCOM tambah nilai kredit tanpa aku sedari. Dan CELCOM sms mengatakan "ada kesilapan teknikal" yang membolehkan aku dapat kredit percuma. Dan tak pula kredit aku ditarik selepas itu. Hahaha.. Apa-apapun terima kasih CELCOM.

Jadi dalam hal "bonus setia" tu taklah aku rasa CELCOM menipu, cuma ini "tertakluk kepada terma dan syarat". (Ehm..macam nak promote CELCOM pula)

Rabu, November 17, 2010

Cerita pagi raya

Pagi ini aku solat sunat Aidiladha di madrasah @ musolla @ balaisaf berdekatan rumah. Kapasitinya (mungkin) dalam linkungan 300 jemaah (jemaah muslimin dan muslimah). Ketika khatib sedang asyik dan bersemangat berkthubah tiba-tiba terdengar bunyi telefon dari saf belakang sekali. Dalam hati aku berkata "siapalah yang tak silent mode telefon time macam ni". Ring tone ni juga macam pernah aku dengar. Berkebetulan aku berada di saf belakang; jadi aku juga tercari-cari siapa punya hand phone. Seakan sama dengan ring tone aku. Setelah hampir setengah minit kedengaran, tiba-tiba...

Tiba-tiba paha aku terasa ada gegaran dan getaran. Dan baru aku perasan bunyi itu datangnya dari poket baju Melayu aku. Ya, bunyi ring tone hand phone aku. Hahah.. Aku tak perasan. Ring tone alarm, jam loceng tepat jam 0859. Nasib baiklah jemaah lain tak bising pasal bunyi tu. Dan khatib pun macam tak dengar apa-apa gangguan. Senang cerita, aku tak nampak jemaah lain tercari-cari bunyi tu seperti aku.

Sebelum itu, di rumah; ibu memberi tahu ketupat pulutnya "dicuri" toyol. Hahaha... Banyak jugalah yang hilang. Cari punya cari baki ketupat tu ada terselit di celah-celah almari dapur. Rupa-rupanya ketupat tu menjadi rezeki tikus. Biasanya kalau Raya Puasa budak-budak tentu gembira dapat duit raya, tapi kalau Raya Haji mereka tak gembira sangat sebab duit raya takda, yang ada biskut atau ketupat, rendang. Dalam kes "toyol" dan ketupat ni pun ada kaitannya; toyol biasanya curi duit. Kalau Raya Puasa dah tentu duit hilang, ni Raya Haji mesti biskut, ketupat yang "dicurinya". Haha...

Beza antara Aidiladha tahun ini dan tahun-tahun yang sudah aku tak berapa pasti sangat. Tapi ruang madrasah kali ini agak lengang. Biasanya jemaah melimpah sampai ke luar dan ruang parkir. Dan kali ini juga aku "berjaya" menempatkan diri dalam ruang utama; walaupun berada di saf belakang.

___________________________________________________
*Link ini seperti semasa catatan ini dilampirkan

Selasa, November 16, 2010

Berkorban atau terkorban?

Insya-Allah, jika tiada aral melintang hari Rabu ini umat Islam akan menyambut 10 Zulhijjah. Ini bermakna Aidiladha bakal menjelma sekali lagi. Ini juga bermakna kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Pencipta untuk terus menikmati hari raya.

Sejarah awal mengenai peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail menjadi pencetus bagaimana Aidiladha disambut pada hari ini. Ibrahim sanggup mengorbankan anaknya apabila menerima wahyu daripada Allah. Ismail pula sanggup berkorban kerana Allah. Akhirnya pengorbanan dua beranak ini diangkat ke darjat yang amat tinggi.


Bagaimana pula kita? Kita berkorban atau terkorban? Pertama sekali aku tertarik untuk mengetengahkan satu persoalan tentang orang yang melaksanakan ibadat korban. Tahun ini purata kos korban untuk "satu bahagian" adalah dalam RM300 - RM350. Ini bermakna harga seekor lembu lebih daripada RM2000. Dan lembu juga agak besar (besar atau kecil lembu boleh dinilai dengan harganya). Tuan ampunya lembu sudah pasti tersenyum lebar dengan nilai yang sebegitu. Bagi yang mengambil bahagian (korban) wang bukan ukuran kerana ibadat itu yang utama. Tuan mapunya lembu pun samalah, bukan nilai keuntungan yang utama tapi nilai pahala yang diharapkan. Tapi..


Tapi andai kata dengan harga RM350.00 sebahagian, lembu pula taklah besar seperti yang diharapkan; Bagaimana agaknya "nilai" pahala tuan ampunya lembu tu? Andai kata tuan ampunya menipu atau berhelah. Apa yang pasti tuan ampunya sepatutnya tidak melihat keuntungan semata-mata (harga sebahagian tu perlu sepadan dengan lembu yang akan "dijual"). Itu mengenai tuan ampunya. Bagaiman pula reaksi "si pembeli" seandainya harga yang dibayar tidak sepadan dengan besar atau kecil lembu (dan haiwan korban yang lain)?


Si pembeli sudah pasti tidak berpuas hati dengan keadaan sebegitu. Tapi, di sebalik rasa tak puas hati tu, adakah ini menunjukan kita sanggup berkorban? Atau kita rasa terkorban dengan situasi ini? Ibadat korban tidak dinilai dengan harga bahagian, tidak dinilai kecil atau besar haiwan korban tapi dinilai kerana keikhlasan dan kemampuan kita. Jika tidak mampu ia bukan satu paksaan atau kemestian kita untuk melaksanakan ibadat korban. Jika rasa tertipu; itu (mungkin) salah satu ujian keatas kesanggupan dan keikhlasan kita dalam ibadat korban.


Daging korban mesti diagihkan kepada sesiapa yang berhak seperti fakir dan miskin. Dan dalam fikiran "pembeli" sudah pasti terselit dan tersimpan mereka yang patut kita sedekahkan daging. Tapi dek kerana harga tidak sepadan dengan besar kecil haiwan kadang-kadang kita terpaksa kecilkan jumlah penerima sedekah kita. Dengan ini adakah kita akan "terkurang" nilai pahala? Sekali lagi dinyatakn nilai korban bukan terletak pada harga dan jumlah penerima tapi terletak pada nilai keikhlasan dan kemampuan.


Keduanya; aku "tertarik" dengan berita kematian semasa perayaan menjelma. Ajal dan maut memang telah tersurat di loh mahfuh Allah, tapi kita juga mesti berhati-hati. Ini aku rujuk kepada kes kemalangan jalan raya. Cuai dan lalai faktor utama. Demi untuk pulang menyambut hari raya korban (dan juga Aidilfitri) di kampung, ramai pula yang terkorban di jalan raya.


Berkorban atau terkorban, semuanya ada dalam pengetahuan Allah. Sebagai hamba-Nya, kita hanya mampu berserah. Ibadat kerana Allah bukan kerana nilai duniawi.


*Kali ini catatan ini bukan melibatkan sesiapa yang khusus, cuma sekadar apa yang terlintas di kepala.
*Terlintas di fikiran bagaimana ibadat korban itu dinilai jika ada sikap sebegitu dalam diri; oleh itu aku cuba lahirkan apa yang terselit dalam fikiran.


Cuba tengok ni: *Ustaz Zahazan Mohamed: Hikmah korban dan *Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin: Pengorbanan bukan sekadar cerita
_________________________________________________
*Link ini masih seperti semasa catatan ini ditulis (update time 20:16)

Isnin, November 15, 2010

Pengakuan kasyaf Nor Idris dianggap sesat

Hafiz Irwan:
KOTA BHARU, 15 Nov: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan
 Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai
 kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob 

menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.


“Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah 
mengakui diri mereka kasyaf.


"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai
 kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta
 ulama itu berdoa.


"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara
 terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno 
terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.


Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan
 bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
 kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.


Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga 
menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke
 rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai
 tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai
 sesat.


Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-
Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz 
enggan bersalam dengan Ustaz Nor.


“Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur
 tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan 
pemimpin PAS itu ada syaitan,” katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam

 setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.


Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan 
sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan 
dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan

 bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar 
yang berlaku.

“Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila

 seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika 
berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

“Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang

 ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan
 Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan,” katanya.



Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka
 kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya 
termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari
 berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan
 dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada 
sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20
 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit
 manis dilaluinya.

“Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu.
Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah
 kuatkan lagi semangat Mursyidul Am,” katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik
 nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan
 perut semata-mata.

Ini.. Tangan Nik Aziz tangan syaitan: Mohd Nor dan ini komen daripada 
mantan mufti Perlis, *Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
___________________________________________
*link ini masih beroperasi semasa catatan ini ditulis.