Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Januari 24, 2012

Cerita bola 2012: Isu sepak mula Kelantan - PKNS lewat, Rizal ada alasannya

Rizal Hashim
Setelah berlanjutan beberapa hari akhirnya pengamal media yang juga seorang blogger, saudara Rizal Hashim memberi respon terhadap entrinya yang bertajuk "Surat buat FAM dan kawasan sekitarnya". Entri ini mendapat respon yang agak tinggi daripada penyokong bola sepak Kelantan apabila ia menyentuh perihal kelewatan sepak mula; "Dalam pada itu, Tan Sri Annuar Musa, pengerusi MSL Sdn Bhd, berdegar-degar mahu perubahan tetapi perkara asas seperti sepak mula perlawanan membabitkan Kelantan dengan Selangor PKNS ditangguh sehingga 9.18 malam semata-mata menunggu kehadiran Sultan Kelantan. Eh mana punya undang-undang ini? Takkan Tan Sri tengok saja dan relakan?"

Secara keseluruhannya, entri itu menyentuh pelbagai perkara. Tapi disebabkan satu perenggan mengenai kelewatan sepak mula Kelantan - PKNS, ia menimbulkan reaksi yang tidak senang daripada penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan nampaknya emosional dengan pendedahan saudara Rizal ini. Kemarahan penyokong kerana Rizal didakwa seakan tidak menghormati Sultan Muhammad V dan seolah-olah "membesarkan" bola daripada solat.

Setelah beberapa hari Rizal membiarkan penyokong mengkritik, mengutuk, mengeji dan mengugutnya, akhirnya Rizal tampil dengan entri barunya.
............................................................

Mohon ampun Tuanku Sultan Kelantan

Terlebih dahulu saya merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Kelantan dan kaum kerabat Tuanku jika surat terbuka saya bertajuk Surat buat FAM dan kawasan sekitarnya disalah tafsir hinggakan ada pihak yang menuduh saya derhaka kepada Tuanku Sultan.

Saya sedikitpun tidak berniat menujukan perenggan itu kepada Tuanku Sultan. Selain menghormati institusi diraja, saya ada kenangan manis dengan Tuanku. Saya bersama tiga lagi sahabat secara peribadi terserempak dan bersalam dengan Tuanku Sultan yang ketika itu Tengku Mahkota Kelantan, di Hotel Grand Makkah ketika sama-sama menunaikan umrah pada bulan puasa, Oktober 2007.

Sebelum pembaca blog ini melontarkan kata-kata nista, mencaci dan mengugut saya, saya ingin mengajak semua berbincang dengan lapang dada dan minda terbuka tanpa perlu menghasut mana-mana golongan berhubung komentar saya mengenai sepak mula pertemuan Liga Super di antara Kelantan dan Selangor PKNS yang lewat selama 33 minit, 13 Januari lalu.

Impak daripada sepak mula di Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang dijadual 8.45 malam tetapi bermula jam 9.18 malam, cukup besar.

Antaranya

1. Pemain terdedah kepada kecederaan sesudah melakukan warm-up

2. Soal airtime. Perlawanan itu disiar secara langsung menerusi saluran berbayar Astro Arena dan tamat pada jam 11.15 malam. Sebenarnya tiada stesen televisyen, sama ada berbayar atau percuma (free-to-air seperti RTM dan TV3, TV9) yang gemar berdepan situasi ini kerana ia membabitkan kos airtime dan rancangan seterusnya. Isunya bukan saya menulis kerana saya ada program di Astro Arena, saya tetap tulis kalau perlawanan disiarkan di RTM...menyatakan fakta bukan satu kesalahan. Setiap pemimpin sukan harus faham isu airtime sebagai satu komponen penting dalam industri sukan. Jika perlawanan antarabangsa, tentu sekali hos penyiar akan diberi ganti rugi mengikut nilai airtime. Ini antara tuntutan dunia profesional.

3. Kelewatan ini menyebabkan sesetengah media cetak arus perdana tidak sempat menyelitkan laporan untuk edisi pertama.

4. Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan kemungkinan dikenakan tindakan. Ini berdasarkan pengalaman saya yang kurang arif ini. Pernah menjadi pegawai media selama dua bulan di Wisma FAM, mengurus tuntutan media untuk dua perlawanan besar - Malaysia lawan Chelsea di Stadium Shah Alam dan final Piala Malaysia 2008. Sebelum menyertai FAM, pernah menjadi pegawai media Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya dan Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Mei 2008, ketika Safee Sali menjaringkan tiga gol menarik sepanjang kejohanan. Kita tidak boleh lari daripada protokol pengelolaan perlawanan, sebab itu semua pegawai maklum ada apa yang digelar sebagai OTP...pengelolaan perlawanan mengikut Organisasi Teknikal Perlawanan.

Mana-mana pihak yang gagal mematuhi mana-mana tatacara OTP boleh dikenakan tindakan lanjut mengikut perkara 2.1.2 dan Perkara 5.7.5 manual Liga M 2012. Pasukan, pegawai pasukan, pegawai pertandingan seperti match commissioner (MC) dan general co-ordinator (GC) boleh dikenakan tindakan lanjut oleh FAM.

Skop OTP meliputi padang dan kawasan sekitarnya, lampu limpah, kelengkapan bilik persalinan.

Perkara 5.6.10 menetapkan pasukan tuan rumah atau GC hendaklah memaklumkan kepada MC/RA (penilai pengadil) kehadiran tetamu diraja atau tetamu kehormat.

Tetamu Diraja
1. Sultan Negeri
2. Yang Dipertuan Negeri
3. Pemangku Sultan
4. Tengku Mahkota/Raja Muda Negeri

Tetamu kehormat
1. Presiden FAM
2. Timbalan Presiden FAM atau wakil presiden FAM
3. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri
4. Mana-mana tetamu yang ditetapkan FAM

Tetamu Diraja atau Tetamu Kehormat hendaklah berada di venue pertandingan selewat-lewatnya 15 minit sebelum masa perarakan bendera Fair Play (perarakan biasanya lapan minit sebelum sepak mula).

Perkara 2.1.1 dalam Pematuhan Peraturan dan Piala pula menyebut kejujuran dan keikhlasan untuk mematuhi semua peraturan persatuan dalam pengelolaan Liga M adalah menjadi tanggungjawab dan tertanggungjawab kepada pasukan, pegawai dan pemain. Mana-mana pasukan, pegawai atau pemain yang mengingkari mana-mana perkara dalam Perkara 2.1.1 boleh dikenakan tindakan atau hukuman. Pasukan boleh didenda maksimum RM100,000, pegawai denda maksimum RM50,000.

Jadi adalah malang jika the Red Warriors - barisan sang juara yang mencetus satu fenomena sejak 2009 - terpaksa menanggung kesukaran dan masalah akibat kelewatan sepak mula tempoh hari.

Prosedur pengelolaan perlawanan anjuran FIFA pula memberi ruang sepak mula dilewatkan sehingga dua jam atas sebab kilat, padang dinaiki air, lampu limpah dan ancaman keselamatan dan kesihatan. Sepak mula dan penundaan/pembatalan perlawanan pula adalah dua perkara berbeza!

Ini sekadar hujah yang simplistic dan tidak intelektual daripada saya...

Bersambung... (Mohon ampun Tuanku Sultan Kelantan)
....................................................................

Ada sedikit kemusykilan dalam hal ini. Rizal menyatakan kesan kelewatan ini akan mengundang beberapa impak negatif seperti kecederaan pemain, kos air time, denda dan sebagainya. Itu yang ditekankan oleh penulis Malaysian Sports' Loose Cannon. Di sebalik penekanan itu apakah Tan Sri Annuar Musa, selaku orang kanan FAM tidak tahu?

Secara peribadinya, kawe sependapat dengan Tan Sri Annuar seperti katanya, "Saya memilih untuk menghormati sultan saya dan solatnya ..."

Gambar hiasan
...................................................

Permandangan biasa di SSM IV, sebelum sepak mula

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..